Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Sesi perkongsian ilmiah mengenai penjimatan dan keselamatan pengendalian peralatan elektrik anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Bahagian Pentadbiran dan Perpustakaan Dato Jaafar Hassan bertujuan memberikan kesedaran kepada warga kampus tentang keperluan pengurusan tenaga dengan lebih berkesan, pengendalian barangan elektrik dengan selamat dan menangani masalah bekalan tenaga elektrik.
Jurutera Kanan, UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohd Junaidy Ilyas dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sesi perkongsian berkenaan di Bilik Latihan Pentadbiran, UiTM Cawangan Perlis dengan kehadiran peserta program sebanyak 32 orang dari pelbagai unit dan bahagian universiti tersebut.

Beliau memulakan sesi perkongsiannya dengan penghayatan elemen kesedaran dan nilai tanggungjawab dalam kalangan warga UiTM Cawangan Perlis, terutamanya warga pekerja dan mahasiswa dalam proses penjimatan tenaga di kampus.
Ujar beliau,
Penjimatan tenaga bukan sahaja menunjukkan kebijaksanaan warga kampus dalam menguruskan kecekapan tenaga dan cakna dengan kesan negatif kepada kemampanan alam sekitar, malah membentuk elemen kerjasama dan tanggungjawab dalam diri secara holistik.
Dalam sesi perkongsian itu, beliau juga menerangkan konsep kecekapan tenaga dan penjimatan tenaga dalam pengurusan tenaga elektrik.
Menurut beliau, kecekapan tenaga merupakan tindakan menggunakan tenaga yang sedikit untuk menyempurnakan tugas yang sama seperti penggunaan LED berbanding dengan lampu kalimantang, manakala penjimatan tenaga pula memerlukan perubahan tingkah laku pengguna dalam menguruskan tenaga elektrik.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tipu daya penipuan pembelian alat penjimatan elektrik yang sebenarnya tidak memberikan kesan untuk jangka masa panjang dalam usaha penjimatan elektrik.
Tegas beliau,
Jangan terpedaya dengan teknologi penjimatan elektrik yang sering diiklankan oleh orang yang tidak bertanggungjawab yang akhirnya menyebabkan bil elektrik rumah atau tempat bekerja terus melambung tinggi.
Beliau menekankan agar pengguna perlu membuat pilihan yang bijak dan mencari maklumat yang betul semasa memilih alat dan perkakasan elektrik yang efisien dalam mengurangkan keciciran tenaga.
Selain itu, beliau juga menerangkan pelbagai manfaat kecekapan tenaga dalam memperkukuh tadbir urus dan kawal selia penggunaan perkakasan dan peralatan kecekapan tenaga.
Kata beliau,
Selain menjimatkan tenaga dan kos, faedah lain kecekapan tenaga termasuklah mengurangkan pengeluaran karbon, pencemaran udara dan kebergantungan mutlak kepada bahan api fosil.
Pada masa yang sama, beliau juga menyokong panduan kecekapan tenaga yang dianjurkan oleh Tenaga Nasional Malaysia untuk menjimatkan kos pembayaran bil elektrik dalam kalangan pengguna.
Katanya,
Manfaatkan tenaga cahaya dan haba matahari semasa mengeringkan baju dan proses pengudaraan dalam rumah jika ingin mengurangkan kebergantungan kepada mesin basuh dan penghawa dingin.
Tutup suis jika tidak menggunakan apa-apa perkakas elektrik dan sentiasa melakukan penyelenggaraan pada barang elektrik seperti penghawa dingin, lampu siling dan peti sejuk jika rosak.
Kurangkan menggunakan gajet dengan meluangkan masa bersama-sama keluarga dengan aktiviti riadah dan bersosial.

Sesi perkongsian ini juga disertai dengan sesi praktikal keselamatan pengendalian peralatan elektrik yang disampaikan oleh staf di Bahagian Pengurusan Fasiliti, UiTM Cawangan Perlis, iaitu Encik Mohd Hazwan Hussin dan Encik Mohd Amirul Fitri Mohd Shamsuri.
Encik Mohd Hazwan Hussin menyarankan para peserta agar berhati-hati ketika menggunakan perkakas dan alat elektrik yang rosak bagi mengelakkan kejadian litar pintas yang mampu meragut nyawa dan barangan elektrik.
Ujar beliau,
Suis pembumian yang berfungsi baik adalah penting untuk melindungi nyawa, peralatan dan mencegah daripada bahaya elektrik dengan memutuskan sambungan komponen yang gagal atau sebarang lonjakan paras voltan berbahaya.
UiTM amat memandang serius kualiti pengurusan tenaga bagi meningkatkan produktiviti, keselesaan dan keselamatan warganya berada pada tahap yang optimum dalam usaha menjadikan universiti ini menepati piawaian dalam pengurusan kelestarian dan kecekapan tenaga secara total seperti terkandung dalam Dasar Pengurusan Tenaga UiTM.
Turut hadir ialah Timbalan Pendaftar, UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohd Khairul Ab Razak, Timbalan Ketua Pustakawan, UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohd Fahizan Hamid dan Timbalan Bendahari, UiTM Cawangan Perlis, Puan Nur Faizahton Fisal.