31 Ogos 2024, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Membuat keputusan ialah proses berfikir untuk menentukan pilihan yang terbaik daripada beberapa pilihan yang ada berdasarkan tujuan dan kriteria tertentu. Keputusan yang bijak perlu dibuat, sama ada melibatkan perkara yang besar ataupun kecil.

Tindakan membuat keputusan bukanlah suatu perkara yang mudah, terutamanya keputusan besar yang melibatkan keselamatan negara dan membabitkan kepentingan orang ramai dalam jangka masa panjang. Kemahiran untuk membuat keputusan yang tepat perlu dipelajari apabila melibatkan keputusan yang penting seperti pemilihan tapak untuk membina empangan, kawasan penting untuk pemuliharaan biodiversiti, pemilihan kawasan untuk pembinaan sekolah atau markas tentera.

Keputusan yang diambil mempengaruhi kehidupan pada hari ini, esok dan masa hadapan. Oleh sebab itu, keputusan yang tepat membolehkan tujuan dicapai, di samping mengurangkan risiko jangka masa pendek dan panjang akibat keputusan tersebut. Terdapat pelbagai kaedah untuk membantu proses membuat keputusan yang kompleks. Antaranya termasuklah aplikasi matematik yang dipanggil Kaedah Proses Hierarki Analitik atau Analytical Hierarchy Process (AHP).

AHP merupakan kaedah matematik yang dibangunkan oleh Thomas L. Saaty pada tahun 1977. Cara ini ialah satu daripada teknik membuat keputusan pelbagai kriteria yang bijak, kurang berisiko dan sukar dipertikaikan. AHP juga membantu dalam membuat keputusan melalui struktur hierarki objektif, kriteria, subkriteria dan alternatif, selain digunakan untuk membuat keputusan tunggal ataupun secara kumpulan.

Kajian literasi mendapati bahawa AHP telah digunakan secara meluas di Malaysia untuk membuat keputusan yang melibatkan perancangan hutan, membangunkan indeks kesesuaian habitat gajah, mengukur kesihatan hutan, penilaian alam sekitar dan penentuan kawasan rekreasi. Dalam rencana ini, penulis berkongsikan maklumat mengenai aplikasi AHP dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk mengenal pasti kawasan penting tumbuhan (IPA) Malaysia bagi penentuan prioriti kawasan pemuliharaan.

Kajian IPA di Malaysia telah mula diterbitkan pada tahun 2020. Pengenalpastian kawasan ini telah dijalankan dengan merujuk garis panduan yang disediakan oleh Plantlife International untuk mengenal pasti IPA pada peringkat dunia. IPA merupakan kawasan penting di dunia untuk kepelbagaian tumbuhan yang boleh diurus dan dilindungi. Tiga kriteria IPA ialah kewujudan spesies terancam, kekayaan botani yang tinggi dan habitat terancam.

Tumbuhan endemik berfungsi sebagai petunjuk biodiversiti yang berharga. Sehubungan dengan itu, kriteria endemisme telah ditambah untuk mengenal pasti IPA Malaysia.

Kriteria IPA Malaysia.

Teknik membuat keputusan berkumpulan telah dijalankan untuk mendapatkan keputusan bersama untuk menentukan nilai pemberat bagi keempat-empat kriteria IPA Malaysia. Teknik membuat keputusan berkumpulan dipilih untuk mengurangkan berat sebelah yang mungkin wujud daripada teknik membuat keputusan tunggal serta untuk mencapai sepersetujuan pendapat. Kumpulan tersebut merupakan pakar biodiversiti dan pemuliharaan yang terdiri daripada para penyelidik, ahli akademik dan pegawai hutan yang dipilih secara rawak dari seluruh Malaysia.

Borang soal selidik yang disediakan dengan menggunakan Google Forms telah diedarkan secara dalam talian kepada pakar yang berpengalaman lebih daripada lima tahun. Soal selidik ini telah dijawab oleh 40 orang responden. Dalam hal ini, sebanyak sembilan responden dikeluarkan kerana tidak konsisten dalam penilaian menjadikan jumlah akhir penilaian yang diterima adalah daripada 31 orang.

Semasa menjawab soal selidik, responden membuat keputusan melalui satu set perbandingan berpasangan yang membandingkan dua kriteria dalam satu masa. Seterusnya, skor kriteria ditentukan dengan menggunakan skala 1 hingga 9 seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.

Jadual 1 Skala AHP yang telah dibangunkan oleh Thomas L. Saaty.

Dalam borang soal selidik yang diberikan, terdapat enam soalan perbandingan berpasangan antara kesemua kriteria IPA yang perlu dijawab oleh responden, iaitu:

  1. Kewujudan spesies endemik dan kekayaan botani.
  2. Kekayaan botani dan habitat terancam.
  3. Kekayaan botani dan spesies terancam.
  4. Kewujudan spesies terancam dan habitat terancam.
  5. Spesies terancam dan spesies endemik.
  6. Habitat terancam dan spesies endemik.

Perbandingan Berpasangan 1

Perbandingan Berpasangan Kewujudan Spesies Terancam dan Kekayaan Botani yang Tinggi
Soalan

“Kriteria yang manakah lebih penting dalam menentukan IPA Malaysia?”

Sila berikan skor kepada kriteria yang dipilih berbanding pasangannya.

Skor Sekiranya responden berpendapat bahawa kewujudan spesies terancam teramat penting berbanding dengan kekayaan botani, maka skor yang diberikan ialah 9 (teramat penting).

Perbandingan Berpasangan 2

Perbandingan Berpasangan Kewujudan Habitat Terancam dengan Kekayaan Botani yang Tinggi
Soalan

“Kriteria yang manakah lebih penting dalam menentukan IPA Malaysia?”

Sila berikan skor kepada kriteria yang dipilih berbanding pasangannya.

Skor Sekiranya responden berpendapat bahawa habitat terancam sama penting dengan kekayaan botani yang tinggi, maka skor yang diberikan ialah 1 (sama penting).

Perisian Expert Choice digunakan untuk menganalisis skor pemberat kriteria daripada soal selidik yang telah dijalankan. Sebanyak 31 gabungan kepakaran dan pengalaman individu disatukan dalam perisian ini untuk menghasilkan skor pemberat dan indeks IPA Malaysia seperti yang berikut:

Indeks IPA Malaysia.

Kajian ini melibatkan pengenalpastian kawasan IPA dalam bentuk ruang atau kawasan. Oleh itu, GIS sangat berguna sebagai alat bantu dalam proses membuat keputusan. GIS membantu membuat keputusan tentang bumi dan membolehkan data ruang atau kawasan diproses menjadi maklumat dalam bentuk peta dan carta. Skor pemberat kriteria digabungkan ke dalam pangkalan data GIS untuk mengenal pasti cadangan kawasan IPA Malaysia dalam bentuk peta.

Gabungan teknik AHP–GIS telah digunakan untuk mengenal pasti IPA bagi famili tumbuhan Dipterokarpa di Perak. Famili Dipterokarpa ialah famili pokok balak yang memainkan peranan penting dalam ekologi dan ekonomi sektor perhutanan di Malaysia. Dari perspektif ekologi, famili ini umpama tiang dalam hutan hujan tropika yang mewujudkan pelbagai habitat lain dan menyokong pelbagai bentuk hidupan.

Peta GIS yang mewakili empat kriteria IPA Malaysia dihasilkan, iaitu peta taburan spesies terancam, kekayaan spesies, habitat terancam dan spesies endemik. Seterusnya, skor pemberat yang telah diperoleh daripada gabungan penilaian pakar dimasukkan ke dalam setiap peta.

Peta taburan spesies Dipterokarpa terancam.
Peta jenis habitat.
Peta kawasan kekayaan spesies Dipterokarpa.

 

Peta taburan spesies endemik.

Analisis tindihan dan cantuman ruang atau bentuk dilaksanakan dalam GIS untuk menghitung jumlah skor pemberat kriteria mengikut lokasi. Hasil daripada analisis ini, peta IPA Dipterokarpa di Perak dapat dikenal pasti.

Pengelasan tahap keutamaan dalam peta IPA.

Peta IPA dikelaskan kepada tiga tahap keutamaan, iaitu prioriti tinggi, prioriti sederhana tinggi dan prioriti baik. Lapan IPA daripada kelas prioriti tinggi telah dikenal pasti di dalam dan luar hutan simpanan kekal, iaitu Hutan Simpan Parit, Universiti Teknologi PETRONAS dan Universiti Teknologi MARA; Hutan Simpan Kledang Saiong; Hutan Simpan Bubu; Pulau Pangkor; Hutan Simpan Lumut, Hutan Simpan Teluk Muroh dan Hutan Simpan Segari Melintang; Hutan Simpan Bukit Kinta; Gua Tempurung, Gunung Rapat dan Gunung Kanthan serta Hutan Simpan Bukit Larut dan Bintang Hijau.

Kelebihan integrasi AHP–GIS ialah kedua-dua bidang penyelidikan yang berbeza dapat saling melengkapi. AHP–GIS merupakan kaedah yang menggabungkan penilaian pakar dan data ruang atau kawasan untuk membantu membuat keputusan. Proses membuat keputusan akan dipertingkat melalui integrasi ini kerana sistem GIS boleh memproses keputusan dan memaparkannya dalam bentuk peta.

Mengetahui taburan IPA memudahkan kawasan pemuliharaan disasarkan dan berpotensi sebagai strategi berkesan untuk melindungi spesies tumbuhan. Oleh hal yang demikian, usaha mencapai keseimbangan antara pemuliharaan dengan pembangunan dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Oleh itu, pelbagai input dan saranan daripada pihak berkepentingan amat diperlukan untuk penetapan akhir IPA Malaysia yang boleh dilaksanakan melalui libat urus bersama-sama pemegang taruh.

Hamidah Mamat dan Mohd Hasmadi Ismail, Pegawai Penyelidik, Cawangan Pemuliharaan dan Biodiversiti Informatik, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.