Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIsu berkaitan dengan keselamatan radiasi kembali menjadi perhatian apabila timbul dakwaan melibatkan petugas di Unit Perubatan Nuklear, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Walaupun isu tersebut mencetuskan pelbagai persepsi, perkara ini turut membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami kaedah sistem kawal selia radiasi di Malaysia.
Di Malaysia, penggunaan sinaran tidak dikawal oleh satu agensi secara tunggal. Sebaliknya, kawalan ini dibahagikan kepada dua sektor utama, iaitu sektor bukan perubatan (industri) dan sektor perubatan. Bagi sektor bukan perubatan (industri), Jabatan Tenaga Atom bertindak sebagai pihak berkuasa pelesenan di bawah Akta Tenaga Atom 1984 (Akta 304) serta pindaan berkaitan. Kawal selia ini melibatkan penggunaan bahan radioaktif, bahan nuklear dan peranti penyinaran dalam pelbagai aktiviti seperti radiografi industri, sel penyinaran, pengujian bahan serta aplikasi dalam sektor minyak dan gas.
Sebagai contoh, sumber radioaktif seperti Iridium-192 digunakan secara meluas dalam radiografi industri bagi mengesan kecacatan struktur tanpa merosakkan bahan. Namun demikian, penggunaannya memerlukan kawalan yang ketat kerana potensi risiko sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. Selain radiografi industri, penggunaan sinaran dalam sektor bukan perubatan (industri) turut merangkumi pelbagai aplikasi lain yang menyokong aktiviti ekonomi negara. Antaranya termasuklah penggunaan tolok nuklear dalam industri pembuatan bagi mengukur ketebalan, ketumpatan atau paras bahan secara tepat tanpa menyentuh bahan tersebut. Teknologi ini banyak digunakan dalam industri kertas, plastik dan pembinaan.
Di samping itu, terdapat juga penggunaan sel penyinaran yang memanfaatkan sinaran untuk tujuan pensterilan produk perubatan, pengawetan makanan serta penyelidikan. Kaedah ini membantu meningkatkan jangka hayat produk dan memastikan tahap kebersihan yang tinggi tanpa penggunaan bahan kimia.
Dalam sektor perlombongan dan pemprosesan bahan mentah, kewujudan bahan radioaktif tabii atau Naturally Occurring Radioactive Material (NORM) turut diberikan perhatian dalam kawal selia.

Semua aplikasi ini menunjukkan bahawa penggunaan sinaran dalam sektor bukan perubatan (industri) bukan sahaja meluas, malah memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan industri. Oleh itu, kawal selia yang rapi oleh Jabatan Tenaga Atom adalah kritikal bagi memastikan setiap penggunaan ini kekal selamat dan terkawal. Sehubungan dengan itu, setiap pemegang lesen diwajibkan mematuhi keperluan keselamatan termasuk latihan pekerja, pemeriksaan kesihatan pekerja, pemantauan dos radiasi serta prosedur penyimpanan dan pengangkutan yang selamat.
Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, Jabatan Tenaga Atom menjalankan pemeriksaan berkala di samping pemantauan berterusan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Pendekatan ini juga selaras dengan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa dalam perlindungan radiasi.
Sementara itu, sektor perubatan pula dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Kawal Selia Radiasi Perubatan. Penggunaan sinaran dalam bidang ini melibatkan prosedur seperti X-ray, imbasan tomografi berkomputer (CT scan), radioterapi dan perubatan nuklear yang memainkan peranan penting dalam diagnosis serta rawatan penyakit.
Dalam konteks dakwaan yang melibatkan PPUM, perkara penting yang perlu difahami bahawa penilaian keselamatan penggunaan sinaran dalam sektor perubatan berada di bawah bidang kuasa KKM. Pada masa yang sama, Jabatan Tenaga Atom terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan penggunaan sinaran bagi sektor bukan perubatan (industri) yang berada di bawah seliaannya.
Pembahagian tanggungjawab ini mencerminkan satu sistem kawal selia yang tersusun dan berasaskan kepakaran. Setiap agensi memberikan tumpuan kepada bidang masing-masing, sekali gus memastikan pengawalseliaan yang lebih berkesan dan menyeluruh.
Kesimpulannya, pemahaman terhadap struktur kawal selia ini penting bagi membantu masyarakat menilai sesuatu isu secara lebih tepat. Dengan peranan yang jelas antara Jabatan Tenaga Atom dengan KKM, penggunaan sinaran di Malaysia terus dikendalikan secara sistematik, selamat dan berasaskan piawaian yang ditetapkan. Pada masa yang sama, peningkatan pengetahuan masyarakat mengenai radiasi amat penting agar setiap isu dapat difahami secara rasional, berfakta dan tidak menimbulkan kekeliruan.