Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bengkel Prapersidangan i-SIHAT 2024: EMPOWER 2024 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM telah diadakan di Bilik Seminar FSK, UKM.
Bengkel yang bertemakan Revitalising Rehabilitation in Ageing and Wellness itu disertai oleh 70 orang peserta secara hibrid yang terdiri daripada penyelidik, ahli perubatan, ahli sains kesihatan, pelajar prasiswazah dan pascasizwazah.
Majlis perasmian bengkel berkenaan telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar dan disaksikan oleh Pengarah Bengkel Prapersidangan i-SIHAT 2024: EMPOWER 2024, YBrs. Dr. Sumaiyah Mat dari H-CARE.

Dalam bengkel tersebut, sidang pleno pertama menumpukan kepada pemulihan demensia melalui pendekatan pelbagai disiplin yang dikendalikan oleh YBrs. Profesor Ian Cameron dari University of Sydney.

Beliau membincangkan teknik intervensi yang boleh digunakan dalam merawat pesakit demensia dan turut berkongsikan perbincangan serta contoh kes yang berlaku di Australia sambil menekankan bahawa kejayaan pemulihan demensia sangat bergantung pada individu, keluarga dan sumber yang sedia ada.
Sidang pleno kedua pula dibentangkan oleh Pakar Geriatrik dari University of Sydney, YBrs. Profesor Susan Kurrle yang menerangkan peranan program intergenerasi yang dilaksanakan oleh beliau bagi memastikan penuaan yang sihat di Australia.
Semasa sesi penerangan itu, beliau menekankan bahawa kelemahan fizikal dan kesunyian adalah antara isu utama yang mempengaruhi penuaan sihat dalam kalangan warga emas.
Pada masa yang sama, beliau turut mengulas kepentingan dan manfaat program intergenerasi yang melibatkan interaksi antara warga emas dengan kanak-kanak dan remaja dalam mengurangkan masalah kelemahan dan kesunyian.
Selain itu, bengkel berkenaan turut menampilkan sesi praktikal yang dikendalikan oleh penyelidik dari H-CARE yang diketuai oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Razif Shahril bersama-sama kumpulan fasilitator yang menumpukan kepada penilaian status pemakanan untuk warga emas dan melibatkan penilaian antropometri dan komposisi badan.

Sesi praktikal kedua yang diketuai oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam dari bidang Psikologi Klinikal dan Kesihatan dan Tingkah Laku, FSK, UKM pula memberikan tumpuan kepada penilaian kognitif warga emas dengan menggunakan alat seperti Montreal Cognitive Assessment (MoCA), Mini-Mental State Examination (MMSE) dan Addenbrooke’s Cognitive Examination (ACE) untuk menilai kemerosotan kognitif ringan dan mengesan demensia pada peringkat awal.
Seterusnya, sesi praktikal ketiga dikendalikan oleh YBrs. Dr. Normala Mesbah dari Program Fisioterapi, FSK, UKM dengan memfokuskan penilaian risiko jatuh bagi warga emas.
Dalam sesi praktikal tersebut, beberapa ujian telah dijalankan termasuklah ujian kelajuan berjalan sejauh empat meter, ujian timed up and go (TUG), ujian 30 second sit to stand (30CST) dan ujian imbangan empat peringkat bagi menyusun pelan penjagaan pesakit yang sesuai.
