Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Buat julung-julung kalinya, Kuala Lumpur tersenarai antara 100 teratas, iaitu di kedudukan ke-93 bagi Kluster Sains dan Teknologi (S&T) dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2024 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Yang Berhormat Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan berkata, kejayaan ini merupakan pencapaian yang besar bagi Malaysia pada peringkat inovasi global apabila diletakkan di hadapan beberapa kluster ekonomi utama yang lain.
Ujar beliau,
Kedudukan Kuala Lumpur dalam kumpulan 100 teratas menunjukkan bahawa Malaysia mampu bersaing pada peringkat antarabangsa, terutamanya dalam bidang penyelidikan saintifik dan kemajuan teknologi.
Menurut beliau, lonjakan Kuala Lumpur dalam senarai berprestij ini dicapai melalui peningkatan ketepatan geokod dan penyumbang utama kepada kejayaan ini termasuklah pelibatan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional Malaysia (MIMOS) yang dikenal pasti sebagai pemohon paten tertinggi, khususnya dalam penyelidikan semikonduktor.
Tambah beliau, Universiti Malaya turut diiktiraf sebagai organisasi penerbitan utama, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab inovasi saintifik dan teknologi.
Katanya, selaras dengan usaha Malaysia yang menekankan aspek penyelidikan dan pembangunan, pencapaian itu membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, menarik pelaburan serta menggalakkan pertumbuhan berterusan dalam sektor sains dan teknologi negara.
Beliau memaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited dalam menyokong usaha tersebut demi memastikan ekosistem inovasi Malaysia terus berkembang dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan sosial negara.
Katanya,
KPDN melalui agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan terus memperkukuh kerjasama dengan universiti, institusi penyelidikan dan pemain industri dalam sektor berpotensi seperti elektronik dan elektrik, teknologi dan inovasi, pelancongan, makanan dan minuman serta industri kreatif yang memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar dan ekonomi keseluruhan negara.
Jelasnya, usaha ini bertujuan untuk meningkatkan pendaftaran paten tempatan dan memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan inovasi global.
GII ialah penanda aras yang menyenaraikan kluster ekonomi berdasarkan keupayaan inovasi dengan penekanan yang antaranya melibatkan kluster S&T.
Metodologi penilaian GII tidak mengambil kira sempadan pentadbiran atau politik, sebaliknya memfokuskan kawasan geografi dengan jumlah kepadatan tinggi pereka cipta inovasi dan kajian saintifik.
Dalam kalangan 100 kluster S&T teratas, Tokyo-Yokohama (Jepun) dan Shenzhen-Hong Kong-Guangzhou (China) menduduki tempat pertama serta kedua susulan jumlah permohonan Triti Kerjasama Paten yang tinggi.
Selain Kuala Lumpur, empat kluster baharu membuat kemunculan pertama dalam kedudukan 100 teratas pada tahun ini, iaitu Nanchang (China) di kedudukan ke-94, manakala Kaherah (Mesir) di tempat ke-95, sekali gus menjadi kluster pertama dari Afrika Utara.
Dua lagi kluster ialah dari China, iaitu Kunming dan Wilayah Pentadbiran Khas Macao-Zuhai yang masing-masing menduduki tangga ke-98 serta ke-100.