Diterbitkan pada 28 Ogos 2024, 13:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menganjurkan Seminar Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) dan Hari Inovasi Nuklear Malaysia 2024 yang mempertemukan penyelidik, pencipta, ahli profesional dan pihak industri untuk berkongsikan pengetahuan mengenai produk dan hasil R&D, penemuan inovasi dan penyelesaian terkini melalui teknologi nuklear dalam pelbagai sektor.

Bertemakan “Teknologi Nuklear Memacu Industri Negara dan Mengiktiraf Kecemerlangan Inovasi Sains dan Teknologi Nuklear”, program yang berlangsung selama tiga hari, bermula pada 27 Ogos 2024 hingga 29 Ogos 2024 itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman Hassan.

YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman Hassan ketika berucap dalam Majlis Perasmian Seminar R&D dan Hari Inovasi Nuklear Malaysia 2024.

“Program ini merupakan inisiatif yang baik dalam mendorong kecemerlangan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) sains dan teknologi selaras dengan matlamat yang terkandung dalam Dasar Sains, Teknologi, Inovasi Negara (DSTIN 2021-2030), Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN 2030) dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR),” kata YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman Hassan.

YBrs. Dr. Pa’iza Mohammad Hasan (kanan) selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjuran Seminar R&D dan Hari Inovasi Nuklear Malaysia 2024 bersama-sama YBrs. Dr. Rosli Darmawan (kiri) mengiringi YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman Hassan (tengah) semasa gimik pelancaran program.

Tambah beliau, selain bertujuan meraikan pencapaian dalam penyelidikan serta inovasi, program seumpama ini dapat menyebarluaskan manfaat perkembangan dan kegunaan sains dan teknologi nuklear kepada masyarakat, terutamanya pemain industri tempatan.

Ujar beliau, menerusi perkongsian hasil penyelidikan dan inovasi yang dijalankan serta interaksi dan pembinaan jaringan kerjasama bersama-sama pelbagai pihak pemegang taruh, program ini dapat membantu dalam usaha untuk penghasilan lebih banyak produk dan teknologi yang bermanfaat kepada masyarakat.

Antara aktiviti utama pengisian program ini termasuklah sesi pembentangan sekitar 150 topik dan hasil penyelidikan oleh warga penyelidik Nuklear Malaysia, pertandingan dan pameran Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan 2024 yang melibatkan penyertaan 50 hasil inovasi penyelidikan para penyelidik Nuklear Malaysia, pelbagai institut penyelidikan, universiti awam dan universiti swasta serta program lawatan teknikal ke beberapa kemudahan penyelidikan yang terdapat di Nuklear Malaysia.

Bersempena dengan program ini juga, Nuklear Malaysia turut menganjurkan satu sesi dialog awam bersama-sama pemegang taruh mengenai DTNN 2030 yang dikendalikan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman Hassan dan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan untuk memberikan penerangan dan mendapatkan maklum balas daripada wakil pihak industri, institusi pendidikan dan penyelidikan serta organisasi bukan kerajaan yang hadir mengenai hala tuju pelan tindakan yang digariskan di bawah dasar ini.

Sesi dialog awam bersama-sama pemegang taruh mengenai DTNN 2030 yang dikendalikan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd. Nor Azman Hassan dan YBrs. Dr. Rosli Darmawan.

Agensi Nuklear Malaysia terus komited dalam usaha mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear ke arah mempertingkat daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memelihara sumber asli dan alam sekitar.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah wakil dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pemain industri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi