Diterbitkan pada 27 Ogos 2024, 13:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak lima kategori baharu diperkenalkan bagi Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) pada tahun ini berbanding dua kategori pada penganugerahan sebelum ini.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, lima kategori utama ASMN pada tahun ini ialah kategori Biologi, Fizik, Kimia, Perubatan dan Kejuruteraan.

Ujar MOSTI,

ASMN merupakan inisiatif MOSTI bagi mengiktiraf dan menghargai kerja dan pencapaian yang cemerlang oleh saintis muda dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.

Tambah MOSTI, anugerah tersebut menggalakkan penjanaan pengetahuan baharu dalam bidang sains untuk memastikan Malaysia berdaya saing dengan negara luar, terutamanya dalam bidang R&D.

Selain itu, penganugerahan berkenaan merupakan satu persediaan untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan dengan mengetengahkan hasil penyelidikan yang berpotensi dalam menyelesaikan masalah seharian.

MOSTI berkata,

Malaysia mampu melahirkan saintis muda negara yang mempunyai daya cipta yang tinggi dalam meningkatkan ekonomi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan makmur selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Pada tahun 2023, sebanyak 18 pencalonan bagi ASMN telah diterima, yakni sebanyak 11 pencalonan adalah bagi kategori Sains Fizikal dan tujuh pencalonan adalah dalam bidang Sains Hayat.

Menurut MOSTI, penganugerahan ASMN 2023 bagi kategori Sains Hayat telah diberikan kepada kajian yang bertajuk “Nurturing A Green Future: Unleashing the Power of Graphitic Carbon Nitride-Based Photocatalyst for Efficient Artificial Photosynthesis in Revolutionizing Malaysia’s Sustainable Energy Generation and Circular Economy” oleh YBrs. Chm. Dr. Mohamad Azuwa Mohamed dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kajian “Advancing Translational Research in Snake Venom Toxinology: Pioneering a Holistic Approach to Combat Snakebite Envenoming in Southeast Asia” bagi Anugerah Saintis Muda Negara 2023 kategori Sains Fizikal pula dimenangi oleh YBrs. Profesor Madya. Dr. Tan Kae Yi dari Universiti Malaya.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa pendaftaran calon untuk anugerah tersebut telah dibuka dan boleh dibuat menerusi lamab sesawang MOSTI hingga 13 September 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi