27 Ogos 2024, 13:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pusat Kecemerlangan (CoE) UM Quantum in Science and Technology (QiST) di Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama komuniti Malaysia Quantum Information Initiative (MyQI) menerajui usaha untuk membangunkan ekosistem penyelidikan teknologi kuantum melalui penganjuran seminar yang berjudul “Malaysia’s Quantum Computing Ecosystem Today and Tomorrow”.

Dalam ucapan pembukaan oleh Ketua Pusat Kecemerlangan UM QiST, Profesor Dr. Vannajan S. Lee, beliau memperkenalkan aktiviti yang dijalankan oleh UM QiST.

Wakil dari Malaysia Quantum Information Initiative, MyQI, Profesor Madya Dr. Nurisya Mohd Shah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula menerangkan mengenai  inisiatif komuniti MyQI yang menyokong ekosistem penyelidikan kuantum di Malaysia.

Beliau turut menekankan bahawa usaha komuniti dalam meningkatkan kesedaran dan mempromosikan perkembangan sains dan teknologi kuantum di negara ini adalah dengan mengumpul dan membangunkan bakat penyelidik tempatan dalam bidang ini.

Seminar “Malaysia’s Quantum Computing Ecosystem Today and Tomorrow” menampilkan dua ucap utama yang disampaikan oleh pakar terkemuka dalam bidang pengkomputeran kuantum, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Xanadu Quantum Technology, sebuah syarikat teknologi kuantum berpusat di Toronto, Kanada, Dr. Christian Weedbrook dan Pengurus Perhubungan Pembangunan Pengkomputeran Kuantum di NVIDIA, Dr. Jin-Sung Kim.

Dr. Christian Weedbrook membentangkan topik yang berjudul “Xanadu Photonic Quantum Computing” yang mengkhususkan pengkomputeran kuantum berasaskan cahaya (foton).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Xanadu Quantum Technology, Dr. Christian Weebrook sewaktu menyampaikan ucap utama.

Xanadu Quantum Technology juga terkenal dengan perisian modul PennyLane yang dibangunkan dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan Python yang direka untuk memudahkan pembinaan dan pengujian litar kuantum pada komputer biasa.

Xanadu Quantum Technology yang ditubuhkan pada tahun 2016 berusaha untuk menjadikan pengkomputeran kuantum boleh dicapai oleh semua orang dan di mana-mana sahaja dengan memfokuskan pembangunan perisian dan perkakasan kuantum.

Dr. Jin-Sung Kim pula membentangkan tajuk “Quantum-Accelerated Supercomputing” yang membincangkan pendekatan NVIDIA dalam pengkomputeran kuantum yang menggabungkan Unit Pemprosesan Grafik (GPU), komputer klasik dan komputer kuantum.

Platfom NVIDIA CUDA-Q menawarkan seni bina pengkomputeran yang membolehkan integrasi pemprosesan kuantum dan klasik untuk meningkatkan keupayaan pelaksanaan model pengkomputeran yang kompleks.

Sesi forum yang bertajuk “Malaysia’s Quantum Computing Ecosystem, Today and Tomorrow” yang melibatkan ahli panel seperti Dr. Christian Weedbrook (Xanadu Quantum Technology), Profesor Madya Ir. Dr. Norshamsuri Ali (UniMAP), Profesor Dr. Chu Kiong Loo (Fakulti Sains Komputer dan IT, UM), Profesor Dr. Raymond Ooi (Jabatan Fizik, UM), dan Encik Saiful Khairi Zainuddin (COO, UM Innovation) turut dianjurkan dalam seminar ini.

Dr. Christian Weedbrook (tiga dari kiri) dan Prof. Dr. Vannajan S. Lee (kanan) bersama-sama penulis dan peserta program.

Perbincangan tersebut merangkumi pelbagai isu penting yang meliputi perkembangan pembangunan teknologi komputer kuantum, aspek keselamatan siber, peranan komuniti MyQI, cabaran dan isu kekurangan bakat tempatan dalam sains dan teknologi kuantum selain menyentuh peranan industri dan kementerian terbabit dalam membangunkan ekosistem kuantum di Malaysia.

Pada majlis ini juga, perjanjian persefahaman antara Universiti Malaya dengan Xanadu Quantum Technology telah dimeterai yang diadakan untuk menyokong pembangunan ekosistem kuantum di Malaysia.

Pemeteraian perjanjian persefahaman antara Universiti Malaya dengan Xanadu Quantum Technology.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati; Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Mr. Wayne Robson dan Kluster Penyelidikan Industri Inovatif dan Sains Kelestarian, Profesor Ir. Dr. Hazlie Mokhlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.