Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBunga loceng, bunga corong, bunga telur raja, bunga akar kuning, bunga emas, bunga trompet, bunga emas atau dikenali juga sebagai bunga Allamanda atau Belldona merupakan spesies tumbuhan berbunga yang memanjat. Spesies yang boleh ditemukan dalam bentuk pokok renek ini dikatakan berasal dari Amerika Selatan, Amerika Tengah dan di kawasan tropika. Spesies ini mungkin dibawa masuk ke Malaysia untuk industri landskap semasa era penjajahan dahulu.
Bunga ini adalah daripada famili Apocyaneae. Allamanda cathartica atau nama sinonimnya A. schotti merupakan spesies yang paling dikenali daripada genus Allamanda yang mempunyai kira-kira 15 spesies.
Spesies ini bersifat diesius yang boleh memanjang, memanjat serta membesar hingga ketinggian enam meter. Spesies ini juga boleh membiak melalui keratan batang dan biji benih.
Bunganya berbentuk trompet atau loceng yang berwarna kuning terang serta mempunyai lima kelopak. Daunnya pula berbentuk lanseolat, mempunyai hujung daun akuminat dan dasar kuneat. Daunnya tersusun secara berpasangan secara pusaran dan mempunyai trikom (bulu) pada permukaan abaksial daun. Trikom ini sangat padat pada daun muda, terutamanya pada daun yang berada di hujung ranting.
Spesies ini mempunyai nilai perubatan tradisional yang tinggi dan telah banyak digunakan dalam rawatan tradisional orang asli dan orang Melayu. Cara rawatan tradisional yang pernah dilakukan oleh masyarakat orang asli antaranya termasuklah air rebusan daunnya diminum dan digunakan untuk merawat sembelit, manakala akarnya pula digunakan untuk merawat gigitan ular. Sapuan daun juga dilakukan untuk merawat bisul, kurap dan luka kerana terdapat potensi antimikrob yang terdapat pada tumbuhan ini.
Spesies tumbuhan ini berpotensi untuk merawat demam kuning dan malaria. Di Amerika Selatan, akar tumbuhan ini digunakan untuk merawat jaundis, malaria dan pembesaran limpa, manakala bunganya dijadikan sebagai ubat julap.
Spesies ini juga mempunyai potensi antibiotik terhadap jangkitan bakteria seperti Staphylococcus spp. Daunnya pula boleh digunakan untuk melegakan batuk dan sakit kepala. Antara kandungan kimia yang terdapat pada spesies tumbuhan ini yang membantu dalam potensi ubatannya termasuklah bahan hidrokarbon, alkohol, karbohidrat, aldehid, keton, asid lemak fosfolipid, steroid, lakton dan flavonoid.
Selain itu, sifat farmakologi lain yang terdapat pada spesies ini ialah kebolehan untuk merawat luka. Kajian terdahulu menunjukkan bahawa ekstrak tumbuhan ini memberikan kesan penyembuhan luka yang baik dengan mengurangkan masa penyembuhan luka dan peningkatan pertumbuhan tisu baharu serta kandungan hidrospirolin yang mempercepat proses penyembuhan luka.
Kajian terdahulu juga menunjukkan spesies tumbuhan ini menunjukkan aktiviti antidermatophytic yang menunjukkan sifat ketoksikan kulat terhadap beberapa patogen yang menyerang kulit dan menyebabkan berlakunya jangkitan pada kulit manusia dan haiwan. Spesies ini menunjukkan kesan merangsang kepada peningkatan aktiviti dan pergerakan usus yang mengaktifkan reseptor untuk mengelakkan berlakunya sembelit. Kajian yang sama juga menunjukkan akar spesies tumbuhan ini mempunyai sifat sitotoksik dan antikeradangan.
Beberapa kajian juga menunjukkan bahawa ekstrak daripada tumbuhan Allamanda mempunyai sifat antibakteria dan antivirus. Bagi masyarakat Melayu, spesies ini digunakan untuk merawat penyakit kudis buta, kurap dan gatal pada kulit dengan cara melumatkan daunnya dan disapukan pada kawasan kulit yang bermasalah serta dijadikan bumbu untuk sapuan atau demah pada kulit yang mengalami iritasi atau kegatalan.
Walau bagaimanapun, tumbuhan ini juga telah dilaporkan mempunyai kesan toksik jika salah digunakan, Spesies ini boleh menyebabkan komplikasi seperti cirit-birit, ruam dan kegatalan pada kulit jika digunakan dalam kuantiti yang banyak dan melebihi dos yang disyorkan. Seluruh bahagian pokok ini, termasuklah batang, bunga dan daun akan mengeluarkan getah apabila patah, luka atau dipetik. Namun begitu, laporan menunjukkan bahawa bahagian yang paling beracun ialah bunga dan buah jika salah digunakan.
Bahagian bunga Allamanda mengandungi bahan toksik yang boleh menyebabkan kegatalan kulit dan kesan alergi pada sesetengah orang. Bunga ini juga berpotensi menyebabkan sakit perut, mual dan muntah jika termakan atau tergigit dalam kuantiti yang besar. Kesan toksik tersebut di atas adalah disebabkan oleh kehadiran bahan fitokimia yang dikenali sebagai allamandin dan isoplumericin yang boleh menyebabkan rasa loya, muntah dan cirit-birit.
Bunga Allamanda mengandungi sebatian toksik, terutamanya di daun, bunga serta batang yang mempunyai getah. Berdasarkan potensi spesies ini yang mengakibatkan ketoksikan dan kesan sampingan yang serius, maka orang ramai tidak perlu mengambil atau menggunakan tumbuhan ini untuk tujuan perubatan tanpa pengawasan pakar. Sebelum menggunakan mana-mana tumbuhan ini untuk tujuan perubatan, orang ramai disyorkan untuk berbincang dan mendapat nasihat daripada doktor atau profesional perubatan herba yang berpengalaman untuk memastikan keselamatan dan keberkesanannya.
Selain mempunyai potensi ubatan, spesies ini sering dijadikan tanaman landskap di Malaysia. Kecantikan bunganya yang berwarna kuning terang, jingga dan kuning cair menjadikan spesies ini sangat sesuai sebagai tanaman hiasan.
Spesies ini berbunga sepanjang tahun, mudah ditanam dan senang dibiakkan. Sesetengah pengeluar atau pengeksport tanaman hiasan menanam bunga loceng, terutamanya spesies Allamanda cathartica sebagai sebahagian daripada koleksi stok jualan tumbuhan hiasan. Hal ini menjadikan spesies ini tepat sebagai tanaman hiasan landskap taman, rumah dan bangunan.
Kehadiran spesies A. cathartica sememangnya boleh memberikan impak dan nilai estetika kepada halaman atau taman, sama ada di rumah kediaman, bangunan atau taman. Walaupun spesies ini bukan merupakan tanaman yang paling hebat, namun bunga loceng merupakan antara spesies tumbuhan hiasan yang paling popular untuk menghiasi banyak landskap taman dan bangunan.
Selain itu, pokok bunga loceng mempunyai daya tahan yang tinggi pada suhu panas yang ekstrem. Spesies ini sesuai ditanam di negara tropika dan subtropika. Bunga Allamanda dapat tumbuh dengan baik di bawah sinar matahari penuh dan terik serta memerlukan hanya sedikit air untuk tumbuh, membesar dan membiak. Spesies ini boleh ditanam di atas tanah ataupun di dalam pasu dan boleh tumbuh membesar dengan baik walaupun diberi penjagaan dan pembajaan yang minimum.
Bunga Allamanda juga mempunyai makna yang simbolik dan pelbagai bagi banyak kumpulan budaya dan tradisi. Terdapat beberapa negara di dunia yang mengganggap bunga Allamanda sebagai simbol kepada kecantikan, keagungan, kebahagiaan, keseimbangan dan kemuliaan.
Profesor Dr. Noraini Talip dan Puan Balqis Zainab Yasiman,
Taman Botani Bangi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia.