Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Sebanyak 23 orang usahawan wanita telah menyertai Program Latihan Usahawan Makanan Sihat “Right Diet For You” anjuran Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia dan Pusat Aktiviti Warga Emas.
Program ini diadakan untuk berkongsikan pengetahuan dan kemahiran kepada usahawan makanan untuk menawarkan pilihan menu sihat kepada pelanggan melalui bimbingan pakar dalam bidang dietetik, perkhidmatan makanan dan perniagaan.
‘’Modul Usahawan Makanan Sihat RightDiet4U© yang telah dibangunkan pada tahun 2015 oleh penyelidik UKM telah digunakan sebagai panduan untuk menjalankan program ini’’ kata Ketua Projek, Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf ketika menyampaikan kata alu-aluan.
Sasaran program ini adalah untuk meningkatkan kebolehdapatan pilihan makanan sihat, terutamanya dalam kalangan masyarakat setempat apabila mereka makan di luar atau makanan yang dipesan daripada luar rumah.
“Apabila masyakarat setempat mendapat membuat pilihan makanan sihat, hal ini secara langsung dapat membantu dalam membendung masalah kesihatan seperti masalah obesiti, hipertensi, hiperkolesterolemia dan diabetes yang berpunca daripada pemakanan tidak sihat,” jelas Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf lagi.
Menurut Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf, pada akhir program ini, peserta ditawarkan ke program lanjutan (fasa dua) bagi menghasilkan menu sihat.
Menu ini akan dinilai oleh pembimbing yang terdiri daripada ahli dietetik dan cef dan seterusnya para peserta akan dilatih untuk mengambil gambar makanan tersebut dan mengiklankannya dalam media sosial.
“Para peserta juga akan dibimbing oleh pembimbing selama sebulan selepas program fasa dua dijalankan untuk memastikan peserta berjaya memasarkan menu sihat yang telah dihasilkan,” hurainya lagi.
Dalam program yang berlangsung selama empat hari ini juga, peserta didedahkan dengan topik kawalan keselamatan makanan, pembangunan menu sihat, pemasaran digital, asas teknologi retort dan pengurusan perniagaan perkhidmatan makanan.
Aktiviti lain yang turut dijalankan ialah demonstrasi masakan sihat dan lawatan ke pasar raya yang membolehkan peserta yang terlibat mempelajari cara membaca dan memahami pelabelan makanan pada produk makanan sebagai panduan memilih bahan masakan yang sihat.


Peserta juga turut berpeluang mendapat inspirasi kejayaan melalui sesi perkongsian strategi pemasaran perniagaan daripada pengasas Kafe Kopi Surat Cinta dan salah seorang alumni Program RightDiet4U.

‘’Saya rasa sangat bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai program ini, banyak pengetahuan yang sangat berguna telah saya peroleh dan boleh saya gunakan bagi menawarkan lebih banyak pilihan makanan sihat kepada pelanggan’’ ujar salah seorang peserta program, Puan Rusnani Haji Awalludin.