Diterbitkan pada 19 Ogos 2024, 09:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti survelan berkaitan dengan penyakit cacar monyet atau mpox susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang menyatakan bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos 2024 lalu.

Menurut KKM dalam satu kenyataan, mpox diisytiharkan sebagai PHEIC buat kali pertama pada 23 Julai 2022 dan berakhir pada 11 Mei 2023.

Pengisytiharan kali kedua ini dibuat berdasarkan nasihat Jawatankuasa Kecemasan IHR dengan menekankan penularan strain mpox baharu, iaitu Clade 1b yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara-negara jiran di rantau Afrika.

KKM juga berkata, peningkatan kes di DRC adalah amat ketara dengan lebih 15 600 kes dan 537 kematian telah dilaporkan pada tahun 2024, yakni melebihi jumlah kes dan kematian pada tahun sebelumnya.

Selain itu, terdapat empat negara di Afrika Timur yang melaporkan penularan mpox buat kali pertama, iaitu Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda.

KKM berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa, yakni semua pengembara yang tiba dari negara yang mempunyai kes mpox perlu memantau status kesihatan kendiri pada setiap hari termasuklah gejala jangkitan mpox selama 21 hari dari tarikh ketibaan mereka di Malaysia.

Individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko serta mempunyai gejala seperti ruam atau lepuh pada kulit perlu menjalani pemeriksaan di kemudahan kesihatan dengan segera serta mengelakkan kontak dengan individu lain bagi mengelakkan penularan jangkitan.

KKM akan memastikan pengamal perubatan di kemudahan kesihatan kerajaan dan swasta untuk memberikan pemakluman kes disyaki dan kes yang disahkan mpox dengan segera ke pejabat kesihatan daerah berdekatan bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan.

Bagi pengurus kes mpox, pengamal perubatan boleh merujuk garis panduan “Guidelines on Mpox Management in Malaysian 2023” dalam laman sesawang portal rasmi KKM.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa KKM akan memastikan makmal pengujian dan diagnostik untuk bersedia yang pada masa ini terdapat 10 buah makmal menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan termasuklah dua makmal swasta.

Katanya, KKM turut mempertingkat aktiviti kesedaran mengenai mpox dan edaran bahan pendidikan kepada kumpulan berisiko dengan kerjasama badan bukan kerajaan di lokasi yang dikenal pasti seperti spa dan sauna.

KKM juga akan memastikan premis yang menyediakan perkhidmatan yang melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan aktiviti lain yang berisiko untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di samping memastikan tiada pekerja atau pelanggan di premis berkaitan mengalami gejala atau menunjukkan tanda mpox seperti ruam atau lepuh pada kulit.

KKM akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuklah hospital dan klinik swasta dalam pemantauan, pengesanan dan penjagaan klinikal kes mpox secara bersepadu serta memantau situasi mpox di dalam negara dan luar negara serta perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi