Diterbitkan pada 14 Ogos 2024, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyertai Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 yang berlangsung pada 12 Ogos 2024 hingga 13 Ogos 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dalam sidang berprestij berkenaan, penyertaan Nuklear Malaysia sebagai pempamer yang berkongsikan hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi yang dihasilkan oleh agensi berkenaan.

Nuklear Malaysia berpeluang untuk mempromosikan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) hasil daripada penyelidikan para penyelidik Nuklear Malaysia, misalnya padi berteknologi tinggi NMR 152 yang dihasilkan menerusi teknologi nuklear, produk biobaja dan NM-Oligochitosan, produk biokomposit serta tisu kultur.

Pengarah Bahagian Teknologi Industri, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Nor Pa’iza Mohamad Hasan (kiri) bergambar bersama-sama pempamer yang terdiri daripada para pegawai Nuklear Malaysia.
Pengarah Bahagian Teknologi Industri, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Nor Pa’iza Mohamad Hasan (berdiri dari kiri) memberikan penerangan berkaitan dengan peranan Nuklear Malaysia kepada para pengunjung.

Pelaksanaan MCY 2024 yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu adalah untuk mempercepat dan meraikan pengkomersialan penyelidikan, pembangunan dan inovasi di Malaysia dalam usaha memacu negara menjadi peneraju serantau dalam inovasi.

Bertemakan “Leading the Regional Innovation”, inisiatif MCY 2024 berupaya meletakkan Malaysia sebagai penggerak utama di rantau ini dalam kemajuan teknologi dan pengkomersialan.

MCY Summit merupakan acara kemuncak dan merupakan program tahunan yang bertujuan untuk mengiktiraf serta meraikan pencapaian penyelidik dan usahawan teknologi tempatan yang berjaya mengkomersialkan produk, teknologi serta perkhidmatan hasil R&D dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, di samping mempromosikan inisiatif yang sedang dijalankan oleh MOSTI.

Pegawai Penyelidik Nuklear Malaysia menerangkan tentang fungsi rumah hijau gama yang merupakan satu daripada kemudahan penyelidikan kepada para pengunjung yang mengunjungi ruang pameran Nuklear Malaysia.

Dalam hal ini, MOSTI sentiasa komited dalam memupuk inovasi dari peringkat awal hingga merealisasikannya dalam pasaran, sama ada dari aspek pembiayaan R&D, pengujian atau validasi produk serta teknologi hingga memudah cara proses pengkomersialan.

Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Chang Lih Kang, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, barisan pengurusan tertinggi kementerian dan para pegawai dari Nuklear Malaysia.

Antara pengunjung yang hadir ke ruang pameran Nuklear Malaysia dan bergambar dengan varieti padi NMR 152, iaitu padi berteknologi tinggi yang dihasilkan menerusi teknologi nuklear.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi