Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dua orang pelajar cemerlang Malaysia, Nurul Nabiilah Sulaiman (25 tahun) dan Shim Zi Jun (23 tahun) dipilih untuk menyertai program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland.
Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam satu kenyataan berkata, program tersebut sedang berlangsung, bermula pada 1 Julai 2024 lalu hingga 25 Ogos 2024.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Chang Lih Kang, CSSP merupakan peluang penting untuk bakat muda di tanah air terus berkembang, berinovasi dan memimpin Malaysia ke arah masa hadapan yang cemerlang dalam aspek saintifik dan teknologi.
Tambah beliau, inisiatif ini dapat menyumbang kepada agenda nasional dalam membangunkan kumpulan bakat yang teguh dan mempersiapkan para pelajar untuk menjadi seseorang yang lebih cemerlang dalam bidang masing-masing, sekali gus menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
Presiden ASM, YBhg. Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen pula berkata, penyertaan pelajar Malaysia dalam CSSP sejajar dengan misi ASM untuk memupuk dan membangunkan bakat terkemuka dalam sains, teknologi dan inovasi.
Penyertaan dalam program antarabangsa yang berprestij seperti CSSP memupuk bakat bernilai tinggi yang akan menyumbang secara positif kepada kapasiti dan keupayaan inovasi. Rangkaian institusi dan individu yang dibangunkan melalui hubungan global ini akan memberikan pengaruh yang besar dalam meningkatkan pembangunan teknologi Malaysia dan daya saing global.
Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa dua orang pelajar tersebut merupakan antara 150 saintis muda dari seluruh dunia yang telah ditawarkan peluang istimewa bagi mengambil bahagian secara aktif dalam operasi harian kumpulan penyelidik yang menjalankan eksperimen di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah.
Nurul Nabiilah merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Fizik dari Universiti Malaya dan sedang melanjutkan pengajian bagi Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Tambahnya, minat beliau terhadap komuniti dan sains telah mendorong semangat kerjasama dan dedikasinya terhadap pembelajaran yang berterusan.
Ini adalah peluang yang luar biasa bagi merealisasikan impian saya untuk menjejakkan kaki di makmal fizik zarah terbesar di dunia. Peluang sekali seumur hidup ini membolehkan kami menyumbang penyelidikan baharu dan membawa semangat inovatif negara kita ke peringkat global.
Katanya, selepas program ini, beliau bercita-cita untuk memberikan inspirasi kepada belia Malaysia dan memupuk minat mereka untuk menyukai sains, terutamanya dalam bidang fizik dan kejuruteraan serta meningkatkan komuniti saintifik negara kerana pengalaman ini benar-benar bermakna dalam hidup beliau dan sesuatu yang tidak akan dilupakan.
Sementara itu, Shim Zi Jun merupakan pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam di University of Nottingham dan mahir dalam AutoCAD, Revit serta program Microsoft Office bersemangat untuk menyumbangkan kepakaran kejuruteraan beliau dalam CSSP.
Saya sangat bersyukur kerana kemahiran yang dimiliki membantu saya merealisasikan impian saya semasa zaman kanak-kanak. Dengan pendedahan yang tidak ternilai dalam bidang sains, perspektif saya tentang kehidupan telah berubah menjadi lebih baik dan membantu saya untuk melangkah keluar daripada zon selesa.
Sejak tahun 2012, MOSTI dan ASM telah menghantar 25 orang pelajar, termasuklah edisi pada tahun ini ke CSSP untuk meningkatkan keupayaan saintifik negara serta mempromosikan kerjasama antarabangsa.
Pada tahun ini, ASM menjalankan proses pencalonan dan pemilihan CSSP, yakni 47 orang calon telah disenarai pendek dan Jawatankuasa Pemilihan CSSP telah menjalankan temu duga bagi mengenal pasti calon yang paling cemerlang.
CSSP 2024 menjanjikan pengalaman yang menyeluruh dengan ceramah khusus oleh pakar global dalam teori dan eksperimen fizik zarah, kejuruteraan dan pengkomputeran.
Peserta akan terlibat dalam lawatan ke kemudahan utama CERN seperti ATLAS, synchrocyclotron, antiproton decelerator dan pusat data yang akan memberikan pengalaman praktikal di makmal yang canggih, memperdalam pemahaman para peserta serta memupuk perbincangan yang interaktif.