10 Ogos 2024, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Filipina – Sebanyak empat orang pelajar yang mewakili Malaysia telah melakar kejayaan dengan membawa pulang dua pingat perak dan dua pingat gangsa dalam pertandingan International Nuclear Science Olympiad (INSO) 2024 yang berlangsung di New Clark City, Filipina pada 31 Julai 2024 hingga 7 Ogos 2024 lalu.

Tujuan olimpiad tersebut diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan minat terhadap sains dan teknologi nuklear dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Delegasi dari Malaysia yang terlibat dalam pertandingan International Nuclear Science Olympiad 2024.

Pertandingan pada peringkat kebangsaan itu dianjurkan oleh Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia serta tiga agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, iaitu Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara.

Kumpulan yang terlibat dalam pertandingan berkenaan diketuai oleh YBrs. Dr. Mark Dennis Usang dari Nuklear Malaysia dan Lim Teng Sheng dari Program Sains Nuklear, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM.

Kumpulan yang mewakili Malaysia telah berjaya melakar kejayaan dalam pertandingan International Nuclear Science Olympiad 2024 yang diadakan di New Clark City, Filipina.

Peserta yang terlibat dalam pertandingan tersebut ialah Lim Yee Jian dan Isaac Toh Thiam Tek dari Kolej Matrikulasi Kejuruteraan, Kedah, Saratt a/l Suthagar dari Program ASASIpintar, UKM dan Arell Yazid Fazrin Mohd Fauzi dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar.

Kesemua peserta yang menyertai pertandingan itu merupakan peserta peringkat akhir dalam pemilihan peserta peringkat kebangsaan melalui Malaysia Nuclear Science Olympiad (MyNSO) 2024.

Penganjuran dan penyertaan kali pertama ini telah mendapat sokongan dan tajaan sepenuhnya daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Malaysia juga akan menjadi penganjur bersama-sama IAEA bagi penganjuran INSO kali kedua pada tahun hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.