10 Ogos 2024, 21:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membuka tirai penganjuran Malaysia Techlympics 2024 peringkat zon timur pada 7 Ogos 2024 dan 8 Ogos 2024 lalu di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Kampus Gambang.

Menurut MOSTI dalam satu kenyataan, hampir 1000 orang peserta dari tiga negeri, iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan telah berkumpul untuk bersaing pada peringkat zon timur bagi melayakkan diri ke peringkat akhir kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada November 2024 di Putrajaya.

Katanya,

Malaysia Techlympics merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi.

Tahun ini merupakan tahun ketiga pelaksanaan program Malaysia Techlympics 2024 setelah dilancarkan pada tahun 2022.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal dalam kenyataan sama berkata, matlamat dan objektif utama penganjuran Malaysia Techlympics ialah pembudayaan STI kepada kumpulan sasar melalui pendekatan amali dan tidak formal serta melalui kaedah pembelajaran eksperimental dan pertandingan melibatkan pelajar dan belia untuk semua peringkat umur, jantina dan bangsa.

MOSTI juga berkata, Malaysia Techlympics 2024 menyasarkan penyertaan sebanyak satu juta penyertaan daripada seluruh negara dengan penganjuran pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan, Internet benda, dron, pengekodan dan robotik yang dipertandingkan pada peringkat negeri dan zon.

“Dalam majlis yang sama, MOSTI turut melancarkan inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh pihaknya, iaitu Program Rehlah Sains yang merupakan program mini karnival Minggu Sains Negara yang menyasarkan golongan pelajar di sekolah tahfiz di negeri pantai timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan,” maklumnya.

Tambah beliau, program yang bakal diadakan pada Oktober dan November ini akan melibatkan tujuh buah sekolah tahfiz dalam usaha memberikan pendedahan STI kepada pelajar berkenaan, memupuk minat mereka terhadap STEM dan melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif dan berinovasi.

Jelas MOSTI juga, pihaknya amat komited dalam menggembleng tenaga dan usaha bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membudayakan STI melalui program pembudayaan STI di luar bilik darjah yang berterusan kepada golongan sasaran yang terlibat. khususnya kanak-kanak dan pelajar sekolah melalui program Malaysia Techlympics bagi memperkasakan agenda STEM Negara.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang hal ini dengan melayari laman web rasmi Malaysia Techlympics.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.