8 Ogos 2024, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis yang merupakan rakan strategik kepada Lembaga Pembangunan Langkawi menyertai program gotong-royong mega di sekitar Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting, Kedah.

Program tersebut diadakan bersempena dengan program Kampung Angkat MADANI 2024 yang diwujudkan bagi menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan.

Program Kampung Angkat MADANI 2024 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Aktiviti gotong-royong turut disertai oleh komuniti setempat di sekitar Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting, Kedah.

“Penganjuran program ini mewujudkan perasaan prihatin masyarakat untuk mengambil berat akan isu alam sekitar sejajar dengan aspirasi Dasar Alam Sekitar Negara,” kata pensyarah merangkap penyelidik dari Stesen Penyelidikan Marin (MARES), YBrs Ts. Gs. Encik Khairul Naim Abd. Aziz.

Ujar beliau,

Pelibatan daripada semua pihak dalam program ini menunjukkan komitmen dan kebertanggungjawaban masyarakat dalam usaha merealisasikan prinsip yang terkandung dalam Dasar Alam Sekitar Negara.

Beliau juga berkata, pelibatan mahasiswa UiTM Cawangan Perlis dalam program ini bukan sahaja memupuk nilai kebersamaan untuk menjaga alam sekitar, mengeratkan perpaduan kaum dalam masyarakat dan meningkatkan kemahiran komunikasi, malah mendorong mahasiswa untuk memahami kepentingan sumber asli dan warisan alam sekitar yang semakin berkurangan.

“Selain menimbulkan kesedaran tentang alam sekitar di dalam jiwa, program ini membantu mahasiswa ke arah pembentukan kemahiran sosial dan komunikasi di samping memupuk nilai kepimpinan dan empati dengan pelibatan aktiviti di luar bidang akademik,” katanya lagi.

Turut serta dalam program tersebut ialah kakitangan dan mahasiswa dari MARES dan program Teknologi Marin Lestari serta komuniti setempat di sekitar Pulau Tuba, Lubuk Chempedak dan Selat Bagan Nyior.

Selain itu, pelbagai agensi turut terlibat dalam program berkenaan seperti Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi; Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan; Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Langkawi; Jabatan Kerja Raya Daerah Langkawi; Tentera Laut Diraja Malaysia; Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi; Ibusawat TM; Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi; Pejabat Agama Langkawi; Tenaga Nasional Berhad; Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan Depoh Environment ldaman Langkawi.

Pelbagai agensi turut terlibat dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan bagi mewujudkan kebersamaan dalam memelihara dan memulihara alam sekitar di kawasan desa.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.