7 Ogos 2024, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Sains Bioperubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) telah menganjurkan Kempen Derma Darah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, terutamanya generasi muda tentang kepentingan menderma darah, sekali gus membantu menambah bekalan darah di PDN untuk pelbagai keperluan prosedur perubatan.

Kempen yang diadakan di Dewan T1BE, UKM itu dikendalikan oleh para pelajar tahun tiga Program Sains Bioperubatan di bawah kursus Transfusi Darah yang diketuai oleh Pengarah Program, Puan Nor Afiqah Nor Azman.

Barisan pelajar program Sains Bioperubatan yang bertungkus lumus menganjurkan Kempen Derma Darah.

Pendedahan kepada proses pendermaan darah dan pengumpulan sampel darah yang dapat disaksikan sendiri oleh para pelajar berupaya memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang ilmu yang telah dipelajari di dalam kuliah.

Pelajar yang terlibat dalam Kempen Derma Darah.
Penderma darah terdiri daripada kakitangan dan pelajar UKM.

Menurut YBrs. Dr Nur Najmi Mohamad Anuar yang merupakan penasihat Kempen Derma Darah berkenaan merangkap penyelaras bagi kursus Transfusi Darah, kempen sebegini sudah lama dijalankan di UKM bersama-sama PDN sejak 15 tahun lalu, malah ketika pandemik COVID-19 melanda juga tidak menghalang usaha murni ini diteruskan dalam memperkasakan kesedaran menderma darah melalui perkongsian dalam talian.

Ujar beliau,

Kempen derma darah yang dijalankan pada kali ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan penyertaan sebanyak 129 orang pelajar dan 23 orang kakitangan dari UKM serta 5 orang peserta luar, sekali gus membuktikan bahawa kesedaran mengenai kepentingan menderma darah semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar dan Ketua Program Sains Bioperubatan, FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Asmah Hamid serta seluruh warga UKM atas segala sokongan yang tidak berbelah bahagi bagi menganjurkan kempen tersebut.

Antara aktiviti yang diadakan dalam kempen tersebut termasuklah saringan kesihatan seperti pemeriksaan berat badan, mengenal pasti jenis kumpulan darah dan paras hemoglobin serta sesi temu bual ringkas bersama-sama pegawai perubatan bagi memastikan mereka yang benar-benar sihat dan layak sahaja yang dibenarkan untuk menderma darah.

Proses derma darah sedang berlangsung.

Selain itu, pameran turut disediakan sepanjang kempen tersebut berlangsung untuk memberikan maklumat kepada masyarakat mengenai kepentingan menderma darah, proses menderma darah, manfaat pendermaan darah kepada penerima serta mengenali jenis kumpulan darah.

Sesi penerangan tentang keperluan menderma darah.

Bukan itu sahaja, kuiz dan permainan juga dijalankan bagi menarik minat lebih banyak peserta untuk menyertai kempen berkenaan serta menanamkan kesedaran dalam kalangan peserta mengenai tanggungjawab sosial mereka untuk menderma darah.

Sesi penerangan mengenai aktiviti yang dijalankan sepanjang Kempen Derma Darah berlangsung.
Aktiviti permainan “Wheel of Fortune” untuk menarik minat penderma darah.
Aktiviti cap jari mengikut kumpulan darah A, B, AB atau O.

Kempen ini juga menerima sumbangan kewangan daripada Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) serta penajaan luar seperti Empkost, Excel Qhalif dan Pusat Islam serta melalui penjanaan sendiri daripada inisiatif jualan para pelajar dan sumbangan daripada Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan (PMFSK) dan Kelab BIOMED.

Kempen Derma Darah ini dilihat telah memberikan impak yang positif kepada semua pihak yang terlibat dan berjaya memupuk kesedaran menderma darah selain membanteras perasaan takut untuk menderma darah dan segala mitos yang berkaitan dengannya.

Kempen ini turut memberikan manfaat kepada masyarakat setempat dengan menambah bekalan darah di PDN, terutamanya bagi kumpulan darah yang sukar ditemukan.

Selain itu, pelajar juga mendapat pengalaman yang berharga dalam menguruskan kempen tersebut, sekali gus memupuk semangat kerjasama dan kebersamaan dalam kalangan pelajar yang secara tidak langsung menggilap kemahiran insaniah mereka.

Sijil penghargaan diberikan kepada penderma darah.
Sesi penyampaian sijil dan cenderamata oleh YBrs. Profesor Dr. Siti Balkis Budin dan YBrs. Dr. Nur Najmi Mohamad Anuar kepada wakil Pusat Darah Negara.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.