Oleh Chong Foong Yen
6 Ogos 2024, 12:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pasukan penyelidik dari Program Audiologi, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (iCaRehab), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan kerjasama dengan beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam penganjuran program komuniti bagi meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan pendengaran dalam kalangan ibu bapa dan guru kanak-kanak dan individu Sindrom Down.

NGO yang terlibat dalam program ini ialah Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), Pusat Pemulihan dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD) dan Taska Anak Istimewa Sindrom Down.

Menurut Pengarah Operasi Yayasan Sindrom Down Kiwanis, Puan Lee Sook Foong, kesedaran mengenai penjagaan kesihatan pendengaran dalam kalangan guru dan ibu bapa kepada kanak-kanak Sindrom Down amat penting supaya mereka dapat mengenal pasti dan menangani sebarang isu pendengaran yang melibatkan golongan istimewa itu dengan lebih awal.

Sekiranya masalah diketahui dengan lebih awal, intervensi yang tepat dan segera boleh dilakukan dan seterusnya akan membantu dalam perkembangan komunikasi dan pembelajaran kanak-kanak.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah ceramah kesedaran penjagaan kesihatan pendengaran yang bertajuk “Hearing Care for Down Syndome”, sesi taklimat kepada guru tentang proses saringan pendengaran dan saringan pendengaran.

 

Sesi perjumpaan antara pasukan penyelidik Program Audiologi, Pusat iCaRehab, FSK, UKM yang diketuai oleh Dr. Chong Foong Yen dengan Puan Hanizan Hussin (Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia), Puan Samsidah bt Hashim (pentadbir Bahagian Kewangan dan Pentadbiran) dan Puan Asma’Husna Salleh (Penyelia PPDKSD).

 

Sesi taklimat oleh pasukan penyelidik Program Audiologi, Pusat iCaRehab, FSK, UKM kepada guru di Yayasan Sindrom Down Kiwanis.

Kerjasama antara UKM dengan pihak NGO telah bermula sejak April 2024 atas biayaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia melalui Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS; kod projek: FRGS/1/2023/SKK06/UKM/03/3) yang bertajuk “Investigating The Role of Middle Ear Function among Children with Down Syndrome on Real-Ear-to-Coupler Difference Measurements”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.