6 Ogos 2024, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan Kerjasama Persatuan Bola Tampar Duduk Negeri Melaka telah menganjurkan Kejohanan Bola Tampar Duduk Terbuka Negeri Melaka 2024 Edisi Kedua bagi mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya dalam sukan paralimpik bagi golongan orang kurang upaya.

Acara ini dirasmikan oleh Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia, Laksamana Pertama Dato’ Subramaniam Raman Nair.

Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia, Laksamana Pertama Dato’ Subramaniam Raman Nair menurunkan tandatangan dalam Majlis Perasmian Kejohanan Bola Tampar Duduk Terbuka Negeri Melaka 2024.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Subramaniam Raman Nair menyatakan bahawa beliau memberikan sokongan terhadap kejohanan seperti ini serta mengharapkan agar acara ini dapat mencungkil lebih banyak atlet paralimpik.

Semasa kejohanan ini, beliau juga menyatakan hasrat untuk menaik taraf bahagian pengurusan atlet paralimpik melalui pelantikan pengiring bertauliah yang akan mengiringi atlit paralimpik Malaysia ke temasya dan kejohanan sukan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan atlet.

Penganjuran Kejohanan Bola Tampar Duduk Terbuka Negeri Melaka 2024 Edisi Kedua ini melibatkan penyertaan sebanyak 220 orang yang mewakili 22 pasukan dari seluruh negara.

Dalam edisi kali, pasukan PBTPNM C telah menjadi johan untuk kategori lelaki, naib johan dimenangi oleh pasukan SBSS dan tempat ketiga jatuh kepada pasukan Tanah Merah Jaya VC.

Tiga pemenang utama bagi kategori lelaki dalam Kejohanan Bola Tampar Duduk Terbuka Negeri Melaka 2024.

Bagi kategori wanita pula, johan dirangkul oleh pasukan The Roar, naib johan dimenangi oleh pasukan dari SBSS dan tempat ketiga jatuh kepada pasukan Rehab Venus.

Tiga pemenang utama bagi kategori wanita dalam Kejohanan Bola Tampar Duduk Terbuka Negeri Melaka 2024.

Bola tampar duduk ialah sukan yang direka khusus bagi individu yang mempunyai pergerakan yang terhad dan dimainkan dalam posisi duduk.

Pada peringkat antarabangsa, sukan bola tampar duduk merupakan satu daripada acara yang dipertandingkan di Kejohanan Paralimpik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.