Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPort Dickson – Cita-cita Malaysia untuk membina kemajuan dan wawasan yang lebih luas ke arah melahirkan masyarakat madani harus diseiringkan dengan pembudayaan ilmu melalui penerbitan yang berpegang teguh pada pemartabatan bahasa Melayu.
Galakan terhadap penulisan saintifik dalam bahasa Melayu juga perlu diteruskan sebagai usaha untuk menarik para ilmuwan dan ahli sains mengikut bidang pengkhususan masing-masing untuk menulis dan menterjemah hasil penulisan mereka dalam bahasa kebangsaan.
Demikian rumusan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika membentangkan kertas kerja ucap tema dalam Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2024 yang diadakan di Hotel Pacific Regency Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan pada hari ini.
Melalui pemerkasaan penulisan saintifik, Malaysia tidak akan ketinggalan dalam melahirkan intelektual bangsa yang akan memacu masyarakat madani.
Menurut beliau lagi, penguasaan ilmu pengetahuan merupakan satu daripada prinsip asas masyarakat madani untuk menjadi umat yang memiliki kekuatan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan intelektual.
“Penguasaan ilmu juga dikatakan mampu menjadi penentu kelangsungan sesuatu bangsa dan berupaya menjadikan masyarakat memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan bersifat semasa,” hurainya lagi.
YBrs. Dr. Hazami Jahari juga menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sedang giat membangunkan pelbagai inisiatif pembudayaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar bagi meningkatkan minat dan penyertaan murid dalam kedua-dua bidang ini.
“Dalam konteks ini, penulisan ilmiah yang menyebarkan ilmu dan idea baharu kepada pembaca memainkan peranan penting dalam memupuk generasi berliterasi dan seterusnya mempengaruhi minat dan pelibatan pelajar dalam bidang STEM dan TVET,” jelas beliau.
Beliau juga menggesa agar masyarakat Malaysia untuk mengekalkan dan mempertahankan bahasa Melayu sebagai lambang identiti nasional dan menggemilangkan semula bahasa Melayu menerusi penulisan saintifik.
“Namun demikian, usaha untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam persada penerbitan ilmiah juga menghadapi cabarannya dalam konteks penyebaran ilmu, maka para ilmuwan perlu menanam iltizam untuk membina penulisan saintifik yang mempunyai identiti Malaysia, yakni menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya yang mampu menjadi rujukan seluruh dunia, sama seperti ilmu saintifik dalam bahasa bangsa yang maju pada masa ini,” hurainya lagi.
Pada akhir pembentangan, beliau menyarankan agar para ilmuwan terus menghasilkan karya dan meneroka pelbagai peluang ilmu agar ilmu yang dihasilkan menerusi penulisan saintifik terus mengalir umpama sungai yang akan menyirami pepohon masyarakat madani.
“Di situlah nanti akan terbinanya keterangkuman masyarakat yang akan menyumbang kepada pembangunan negara dan membantu membina masa hadapan Malaysia,” tambahnya ringkas.