6 Ogos 2024, 22:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Port Dickson – Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2024 yang mengangkat tema “Memperkasakan Penulisan Saintifik Memacu Masyarakat Madani” adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk membina masyarakat madani yang berasaskan ilmu pengetahuan melalui penghayatan ilmu dan penguasaan kemahiran pemikiran aras tinggi.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Puan Ruziah Shafei dalam ucapan perasmiannya pada pagi ini di Hotel Pacific Regency Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan, tema tersebut adalah relevan dengan keperluan masyarakat pada masa ini.

Membina masyarakat yang maju memerlukan kemajuan dari segi pemikiran dan kerohanian. Oleh hal yang demikian, pengkaryaan bahan penulisan tempatan berkaitan dengan sains dan teknologi akan merangsang kefahaman dan celik mata masyarakat terhadap ilmu sains dan teknologi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Puan Ruziah Shafei ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2024 di Hotel Pacific Regency Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan pada pagi ini.

Bagi menyahut usaha tersebut, beliau menyarankan agar penyelidik dan cendekiawan dari seluruh fraterniti penyelidikan dan akademik umumnya menggalas tanggungjawab dalam usaha menyebarluaskan hasil kajian yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Penyebaran hasil kajian ini perlu dilakukan dengan menghasilkan karya yang bermutu tinggi, namun pada masa yang sama dapat difahami oleh masyarakat,” ujar beliau mengenai penghasilan karya ilmu sebagai khazanah negara yang penting dan tidak ternilai harganya.

Selain itu, beliau mengharapkan agar peserta Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2024 mengambil peluang untuk menjadikan seminar ini sebagai medan perantaraan untuk bertemu dengan pakar tempatan dan bertukar-tukar buah fikiran untuk meneroka peluang penulisan dan penerbitan yang luas.

Saya mengharapkan agar peserta dapat meningkatkan kemahiran dalam bidang penulisan dan penerbitan saintifik yang dinamik, kreatif dan bermaklumat, sekali gus dapat memberikan manfaat kepada masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), YBrs. Dr. Rosli Darmawan berkata, Nuklear Malaysia bertanggungjawab untuk menguruskan ilmu pengetahuan hasil daripada aktiviti penyelidikan dengan baik bagi memastikan kelestarian pengetahuan berkaitan dengan nuklear menjadi rujukan kepada generasi pelapis, universiti, para penyelidik dan orang awam.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), YBrs. Dr. Rosli Darmawan menyatakan bahawa matlamat utama penganjuran Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik adalah untuk membina profesionalisme dalam bidang penulisan dan penerbitan saintifik.

Nuklear Malaysia amat menitikberatkan aktiviti penerbitan dalam kalangan pegawai penyelidik, malah, penerbitan saintifik seperti kertas kerja, jurnal dan buku ilmiah ialah satu daripada output agensi penyelidikan.

Beliau mengingatkan bahawa karya saintifik bukan hanya untuk individu yang berada dalam ruang lingkup sains semata-mata, malah boleh disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami dan nilainya mudah terserap dalam jiwa setiap masyarakat.

“Oleh hal yang demikian, kami mengharapkan agar seminar ini dapat menjadi platform percambahan pendapat dan kepakaran antara penulis dengan penerbit dalam penghasilan karya yang  akan mendedahkan peserta dengan teknik dan etika penulisan serta membincangkan peranan, cabaran dan isu dalam penulisan dan penerbitan saintifik,” jelasnya lagi.

Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2024 merupakan seminar kali ke-14 yang dianjurkan oleh Nuklear Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta disokong oleh Universiti Teknologi MARA, Universiti Sains Islam Malaysia, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, PTS Media Group, Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Persatuan Penulis Negeri Sembilan dan Majalahsains.com.

Seminar ini melibatkan 13 pembentangan yang merangkumi satu ucap tema, empat ucap utama dan lapan kertas kerja yang disampaikan oleh tokoh undangan yang memfokuskan bidang sains, teknologi dan inovasi, penyediaan bahan, gaya dan teknik penulisan, penulisan alaf baharu serta cabaran dalam penulisan dan penerbitan.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyampaikan cenderamata daripada pihak DBP kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI, YBrs. Puan Ruziah Shafei.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia, YBrs. Puan Hazami Habib; Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Encik M Azahari Edin; Pengarah Kanan Program Pengkomersilan dan Perancangan Teknologi Nuklear Malaysia merangkap Pengerusi Jawantankuasa Penganjur Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2024, YBrs. Dr. Nor Pa’iza Mohamad Hasan serta ketua pelbagai jabatan dan agensi, pembentang kertas kerja dan peserta seminar dari seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.