6 Ogos 2024, 23:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – Penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan saintifik menjadi medium yang berupaya meningkatkan capaian terhadap ilmu pengetahuan; menggalakkan penyelidikan tempatan; meningkatkan kepelbagaian linguistik dalam saintifik; menyokong pendidikan dan latihan; meningkatkan pengiktirafan antarabangsa; memperluas pemahaman serta meningkatkan pendidikan kepada masyarakat.

Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik M Azahari Edin berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama dalam Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2024 di Hotel Pacific Regency Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan pada petang tadi.

Ujar beliau,

Berdasarkan analisis yang dilakukan terhadap data penulisan tesis yang direkodkan oleh laman MyTO, iaitu inisiatif disertasi tesis elektronik (ETD) untuk menguruskan koleksi tesis dan disertasi universiti awam dan swasta di Malaysia, penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan tesis masih berada pada kadar yang rendah.

Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP, Encik M Azahari Edin ketika menyampaikan ucap utama dalam Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2024 di Hotel Pacific Regency Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Menurut beliau, kehebatan bahasa Melayu bukanlah semata-mata diukur berdasarkan jumlah penerbitan istilah, glosari, ensiklopedia dan kamus yang merakam secara teknikal bahasa itu sendiri, tetapi sejauh mana bahan tersebut digunakan dalam apa-apa jua urusan, termasuklah dalam penulisan saintifik.

Katanya, sebagai agensi bahasa yang memperjuangkan bahasa Melayu di Malaysia, DBP telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memenuhi matlamat penubuhannya seperti mewujudkan Jawatankuasa Istilah Semasa (JKIS) yang akan bersidang dua kali pada setiap bulan untuk membentuk, mencipta dan membakukan istilah baharu dan istilah semasa dalam pelbagai bidang.

Dalam usaha tersebut, DBP juga menerbitkan Kamus Dewan Perdana yang memuatkan 120 000 entri untuk rujukan masyarakat.

Selain itu, beliau turut berkongsi maklumat bahawa DBP menerbitkan pelbagai buku panduan bahasa untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan saintifik dan ensiklopedia dalam menyediakan infrastruktur bahasa yang kukuh.

Untuk mengimbangi tuntutan antara penulisan saintifik dengan penulisan umum, beliau berpandangan bahawa DBP tidak mampu untuk bertindak sendirian dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan saintifik dan memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak seperti penerbit luar, terutamanya institut pengajian tinggi untuk bersama-sama memainkan peranan yang sewajarnya.

Beliau juga memaklumkan bahawa terdapat pelbagai istilah dan kosa kata dalam bahasa Melayu yang sedia digunakan oleh mahasiswa dalam penulisan tesis dan situasi ini menunjukkan tiada alasan untuk suatu penulisan tesis itu tidak ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu.

Daripada 321 jurnal yang dikategorikan sebagai bidang sains oleh MyJurnal, sebanyak 31 atau hampir 10 peratus jurnal yang mengangkat bahasa Melayu sebagai judulnya, sekali gus membuktikan bahawa tidak menjadi suatu masalah, apatah lagi kesalahan sekiranya penerbit jurnal memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam pemilihan judul jurnal.

Sementara itu, dalam sesi pembentangan kertas kerja “Penyediaan Kertas Penyelidikan Berbentuk Kajian Kepustakaan” oleh Pengarah, Institut Sel Fuel, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Siti Kartom Kamarudin, beliau berkongsikan beberapa panduan untuk menulis sorotan kajian dengan baik.

Menurut beliau, pengulas perlu membaca artikel yang dipilih beberapa kali; membuat ringkasan; memberikan pandangan; memulakan ulasan dengan merujuk tajuk artikel pada perenggan pertama; meringkaskan artikel; menyatakan pendapat sama ada artikel yang dipilih itu jelas ataupun tidak dan mengakhiri ulasan dengan memberikan cadangan untuk melakukan penyelidikan lanjut atau perbincangan di lapangan.

Pembentang kertas kerja yang seterusnya, Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Teknologi Reaktor, Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Mazleha Maskin yang membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Analisis Data dan Perisian (Statistik)” pula berkongsikan kaedah memproses dan menganalisis data dengan menggunakan statistik bagi membantu penulis yang ingin menghasilkan penulisan saintifik bagi mengurangkan ketidakpastian dalam membuat sesuatu keputusan.

Untuk sesi pembentangan kertas kerja tentang penyediaan bahan, gaya dan teknik penulisan saintifik itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.