Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLahad Datu – Penganjuran Kembara Sains Borneo (KSB) 2024 di bawah inisiatif Minggu Sains Negara memberikan pengalaman pembelajaran sains bukan formal yang menyeronokkan, khususnya kepada komuniti di Sabah dan Sarawak.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, KSB 2024 dianjurkan dengan kerjasama Pusat Sains Negara (PSN), agensi kerajaan dan swasta serta rakan penaja utama program, iaitu Hibiscus Petroleum Berhad.
Ujar MOSTI,
Kerjasama strategik antara PSN dengan Hibiscus Petroleum Berhad mencerminkan dedikasi dan komitmen sektor swasta dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat.
Tambahnya, inisiatif tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan antara sektor awam dengan swasta, malah membuka peluang baharu dalam pendidikan sains dan teknologi.
MOSTI berkata, lebih banyak program interaktif dan pameran inovatif dapat dianjurkan dengan adanya sokongan ini, memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan bermakna kepada rakyat, sekali gus meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap kepentingan STI dalam memacu kemajuan negara.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal ketika berucap dalam Majlis Perasmian KSB 2024 menyatakan bahawa MOSTI sentiasa melaksanakan pelbagai program dan inisiatif berteraskan rangka kerja Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021–2030 bagi memperkukuh dan memantapkan peranan STI sebagai asas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“MOSTI serius dalam usaha merakyatkan sains dalam kalangan masyarakat dengan memberikan pengalaman penerokaan dan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kepada masyarakat setempat demi meningkatkan minat, pemahaman dan kemahiran dalam bidang ini,” kata beliau.
Katanya, agenda tersebut bertujuan memupuk potensi dan melahirkan lebih banyak individu berpengetahuan dalam bidang STI yang amat diperlukan dalam merealisasikan pembangunan negara ke arah negara berteknologi tinggi pada masa hadapan.
Dalam majlis yang sama, Pengarah Pusat Sains Negara, Encik Mohammad Fuad Rahman berkata, Kembara Sains merupakan program khas PSN yang telah dilaksanakan sejak tahun 2015 dan merupakan platform bagi PSN mendekati pelajar dan komuniti di kawasan luar bandar.
Tambah beliau, tujuan program pembudayaan ini adalah untuk memupuk minat masyarakat dalam bidang STEM melalui kaedah pembelajaran yang interaktif dan kreatif.
Menurut beliau,
Yang istimewa mengenai KSB 2024 ialah program ini akan menjelajah ke 10 daerah di Sabah bermula di Lahad Datu melalui Kinabatangan serta Ranau dan berakhir di Kota Kinabalu. Selepas itu, KSB 2024 akan meneruskan pengembaraan ke lima buah daerah di Sarawak bermula di Miri dan berakhir di Kuching.
Beliau juga berkata, pengembaraan yang dilakukan melibatkan lebih daripada 20 buah sekolah terpilih dan beberapa sekolah lain sebagai lokasi persinggahan dengan anggaran peserta yang menerima manfaat adalah sebanyak 15 000 orang.
Jelas beliau, antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang penjelajahan KSB 2024 ialah sesi Ceritera Sebalik Radas daripada saintis terkenal, Kinect Sports, Drone Challenge, Demonstrasi Sains, Let’s Xperiment, STEM Challenge, Mini Planetarium, Planet Realiti Maya dan sebagainya dengan tawaran pelbagai hadiah yang menarik turut disediakan.
Selain itu, PSN juga akan mengadakan program sampingan ke sekolah terpilih di lokasi KSB 2024 bagi mencetuskan perasaan ingin tahu kepada para pelajar dan guru seterusnya dapat memberikan keseronokan penerokaan sains kepada mereka.