1 Ogos 2024, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Pengamal media memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat, membina persepsi dan tanggapan serta membentuk sikap masyarakat yang terbukti menjadi alat atau perantara terpenting dalam menyampaikan maklumat dan mesej tertentu kepada masyarakat.

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menerima kunjungan daripada pengamal media Siakap Keli Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Pengurus Besar Siakap Keli Sdn. Bhd., Encik Mohd Firdaus Ishak, hari ini.

Kunjungan tersebut disambut mesra oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan dan pihak pengurusan Nuklear Malaysia.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan (kanan).

Antara objektif utama kunjungan ini adalah berkaitan dengan hasrat Siakap Keli Sdn. Bhd. untuk mengenali dengan lebih lanjut tentang fungsi dan peranan Nuklear Malaysia di samping untuk memberikan pendedahan kepada pihak media yang terdiri daripada kumpulan penulisan, produksi dan kreatif.

Dalam sesi pertemuan itu, YBrs. Dr. Rosli Darmawan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Siakap Keli Sdn. Bhd. atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan dalam mempromosikan Nuklear Malaysia menerusi penulisan artikel dan liputan berita dalam platform media, sekali gus membuka mata masyarakat tentang kepentingan teknologi nuklear dalam kehidupan seharian.

Melalui kerjasama strategik antara Nuklear Malaysia dengan Siakap Keli Sdn. Bhd. dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap nuklear ke arah penerimagunaan teknologi nuklear yang lebih positif dalam menyokong Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030.

Pada masa yang sama, pihak media berkenaan turut dibawa melawat ke Reaktor Triga Puspati yang merupakan satu-satunya kemudahan reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia.

Pengurus Pusat Teknologi Reaktor, YBrs. Dr. Julia Abdul Karim (kiri) memberikan penerangan kepada pengamal media Siakap Keli Sdn. Bhd. Tentang fungsi, cara pengendalian dan pengoperasian reaktor nuklear.

Nuklear Malaysia sentiasa komited dalam memberikan tumpuan kepada projek penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan dan memberikan impak kepada pembangunan negara.

Peranan Nuklear Malaysia secara keseluruhannya telah disejajarkan dengan misi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, iaitu menerajui sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) dalam menangani isu dan menghadapi cabaran negara untuk kesejahteraan masyarakat serta pembangunan mampan.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin; Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor; Pengarah Bahagian Sokongan Teknikal, YBrs. Dr. Shukri Mohd; pengarah-pengarah bahagian serta para pegawai dari Nuklear Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.