1 Ogos 2024, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perkhidmatan pentadbiran tanah yang berorientasikan digital dan tangkas adalah amat penting bagi menyokong matlamat dan sasaran utama negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Yang Berhormat Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan berkata, kemajuan teknologi digital seperti kecerdasan buatan, pengkomputeran awan dan blok rantai (blockchain) boleh dimanfaatkan bagi menawarkan perkhidmatan yang akomodatif.

Ujar beliau,

Pendigitalan adalah penting untuk mencapai matlamat negara, khususnya berkaitan dengan Agenda Pembangunan Mampan, kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Malaysia 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Tambah beliau, Malaysia turut menyasarkan untuk menduduki tempat ke-12 dalam Penilaian Business Ready (B-READY) oleh Bank Dunia yang akan bermula menjelang September 2024.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YBhg. Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim berkata, NRES komited memacu transformasi pendigitalan bagi memupuk perancangan guna tanah yang lestari serta memastikan pentadbiran tanah di Malaysia menepati standard dan piawaian global.

Menurut beliau,

Antara transformasi pendigitalan tersebut ialah beberapa sistem dan aplikasi yang telah dibangunkan oleh NRES untuk kegunaan orang awam, jabatan atau agensi kerajaan, iaitu Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam dan Swasta, Sistem e-Kadaster, Sistem MyLAND, aplikasi MyLOT dan Sistem Malaysia Geospatial Online Services (MyGOS).

Selain itu, NRES telah menganjurkan Persidangan Pentadbir Tanah menerusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan sebagai wadah kepada warga pentadbiran tanah berkongsikan idea, pengalaman dan strategi bagi meningkatkan tadbir urus bersempena dengan Sambutan Hari Tanah Negara (HTN) 2024.

Persidangan yang dianjurkan pada kali ini mengupas tentang isu utama pendigitalan pentadbiran tanah seperti ekspektasi orang awam, pencegahan fraud digital dan kesan pendigitalan terhadap pemajuan.

Kertas kerja dalam persidangan itu telah dibentangkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan.

Katanya,

NRES berharap sambutan HTN yang diadakan pada tahun ini dapat dijadikan sebagai cetusan kepada warga pentadbiran tanah untuk membangunkan Malaysia yang lebih maju dan makmur selaras dengan nilai teras Malaysia Madani.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.