31 Julai 2024, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Latihan Kesedaran Keselamatan di Air yang dianjurkan oleh Unit Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama pensyarah dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Perlis di Taman Eko Rimba Bukit Ayer, Perlis diadakan untuk meningkatkan kemahiran serta kesedaran kakitangan UiTM Cawangan Perlis dalam menangani situasi kecemasan apabila melakukan aktiviti di kawasan air.

Menyedari akan kepentingan kesedaran dan kemahiran keselamatan di air, sebanyak 23 orang warga kampus yang menyertai program tersebut telah berpeluang mempelajari teknik asas untuk memberikan bantuan awal sekiranya mereka menghadapi kecemasan dan berupaya meminimumkan statistik kejadian lemas atau kemalangan di kawasan awam.

Peserta program Latihan Kesedaran Keselamatan di Air yang terdiri daripada warga kampus UiTM Cawangan Perlis.

Selain meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai bahaya dan risiko menjalani aktiviti di kawasan perairan, latihan yang diadakan juga membantu para peserta mempersiapkan diri dengan teknik penyelamatan, pertolongan cemas dan tindakan yang cekap dalam menghadapi situasi kecemasan di dalam air.

“Pihak UiTM Cawangan Perlis mengucapkan ribuan terima kasih atas penganjuran program seumpama ini kerana dapat memberikan pendedahan kepada para peserta tentang keselamatan di kawasan air, sekali gus menunjukkan semangat para peserta untuk menamatkan latihan ini dengan jayanya secara berpasukan,” kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika merasmikan Majlis Penutupan Latihan Kesedaran Keselamatan di Air.

Ujar beliau.

Latihan ini diharapkan dapat memberikan impak positif dalam jangka masa panjang kepada semua peserta dan meningkatkan kesedaran keselamatan di kawasan air.

Taklimat berkaitan dengan keselamatan di kawasan air telah disampaikan oleh Encik Mohammad Rahimi yang menyentuh aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di kawasan peranginan bersama-sama keluarga dan dibantu oleh Ketua Seksyen Pengurusan Latihan dan Kompetensi, Encik Azrin Ahmad yang turut berkongsikan topik mengenai risiko biasa yang dihadapi ketika di kawasan air dan langkah pencegahan yang boleh dilakukan ketika menghadapi situasi kecemasan tersebut.

Sesi taklimat berkaitan dengan keselamatan di kawasan air.

Dalam sesi latihan itu juga, para peserta diajar untuk menggunakan alat keselamatan seperti personal floating device, life ring bouy dan cara menggunakan tali menyelamat.

Sesi penerangan tentang teknik penyelamatan, pertolongan cemas dan tindakan yang cekap dalam menghadapi situasi kecemasan di dalam air.

Kebanyakan peserta menunjukkan sikap yang positif ketika mempelajari teknik menyelamat tanpa renangan kerana mereka tidak perlu untuk memasuki ke kawasan air ketika memberikan bantuan kepada mangsa.

Selain itu, peserta juga didedahkan kepada kaedah mengeluarkan mangsa yang tercedera dengan menggunakan papan usungan penstabil tulang belakang dengan betul untuk memastikan keadaan mangsa selamat.

Program tersebut merupakan satu daripada usaha yang berterusan untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan budaya keselamatan di kawasan air, sekali gus menyumbang kepada usaha global dalam mencegah kejadian lemas dan memupuk sikap tanggungjawab dalam memastikan masyarakat cakna dengan keselamatan di kawasan air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.