Diterbitkan pada 29 Julai 2024, 20:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bagi mengukuhkan lagi hubungan strategik antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dalam pelbagai program berimpak tinggi, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan bersama-sama pihak pengurusan agensi tersebut telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari di Menara DBP pada petang ini.

Pertemuan yang cukup bermakna itu membuka ruang perbincangan secara langsung yang sedia terjalin erat antara kedua-dua belah pihak dalam pelbagai aspek kerjasama.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya berkata, DBP berbesar hati menerima kunjungan daripada Nuklear Malaysia yang memperlihatkan komitmen yang tinggi untuk mengembangkan lagi hubungan sedia ada pada tahap yang lebih tinggi.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari semasa mempengerusikan perbincangan kerjasama antara DBP dengan Nuklear Malaysia.

Saya juga berharap agar adanya ruang kerjasama strategik baharu yang boleh diteroka bersama-sama oleh kedua-dua pihak sebagai tanda sokongan berterusan oleh institusi penyelidikan berprestij seperti Nuklear Malaysia dalam aspek pengembangan bahasa Melayu, terutamanya dalam sains dan teknologi.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan pula berkata bahawa pihak Nuklear Malaysia amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh DBP, terutamanya dalam aspek penerbitan.

Selaras dengan fungsi Nuklear Malaysia sebagai agensi peneraju dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi nuklear, kami diberikan tanggungjawab untuk memperkenalkan dan mempromosikan ilmu dalam bidang ini kepada masyarakat dan akan menyambut usaha DBP untuk menjayakan program memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu sebagai satu daripada teras tamadun negara.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan semasa mengetuai kunjungan hormat Nuklear Malaysia kepada Ketua Pengarah DBP.

Ujarnya lagi, Nuklear Malaysia amat menyokong usaha pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu, terutamanya ilmu sains dan teknologi nuklear dalam bahasa Melayu.

“Hal ini dibuktikan dengan kerjasama penerbitan antara DBP dengan Nuklear Malaysia melalui penerbitan 12 buku sains nuklear, satu ensiklopedia, 34 penulisan rencana dalam majalah dan glosari sains nuklear yang menjadi rujukan terkini peristilahan sains dan teknologi nuklear,” jelas YBrs. Dr. Rosli Darmawan.

Selain membincangkan usaha sama dalam aspek penerbitan, pertemuan ini juga membincangkan usaha pembudayaan sains dan teknologi dalam kalangan masyarakat melalui penganjuran program atau aktiviti yang bersifat didik hibur untuk menyemarakkan budaya meminati sains, teknologi dan inovasi dalam bidang sains nuklear.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan.

Sejak tahun 2012, DBP aktif menerbitkan bahan penerbitan ilmiah hasil penulisan kakitangan Nuklear Malaysia selain bersama-sama berkongsi kepakaran dalam bimbingan bahasa dan penulisan serta menjadi penganjur bersama dalam Seminar dan Bengkel Penulisan Saintifik sejak tahun 2008.

Barisan pengurusan dan pegawai DBP yang turut hadir dalam kunjungan hormat Nuklear Malaysia.

Delegasi daripada Nuklear Malaysia yang turut hadir dalam kunjungan hormat ini ialah Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin; Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat, Puan Habibah Adnan; Editor Kanan dari Bahagian Teknologi Industri, YBrs. Dr. Reusmaazran Yusof; Ketua Editor dari Bahagian Agroteknologi dan Biosains, YBrs. Dr. Zaiton Ahmad;  serta pegawai dari Bahagian Pengurusan Maklumat dan Unit Komunikasi Korporat Nuklear Malaysia. 

Antara barisan pengurusan DBP yang turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut termasuklah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Tuan Haji Md Johari Hasan; dan Pengarah Jabatan Penerbitan, Encik M Azahari Edin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi