Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangChiang Mai – Sebanyak enam orang pelajar prasiswazah tahun tiga program Fisioterapi dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyertai program latihan industri selama empat minggu, bermula pada 22 Julai 2024 hingga 16 Ogos 2024 di Jabatan Fisioterapi, Fakulti Sains Perubatan Bersekutu, Universiti Chiang Mai (CMU), Thailand.
Program latihan industri anjuran program Fisioterapi UKM dengan kerjasama Universiti Chiang Mai yang bertemakan “Good Insight Towards Real Industry” menekankan pemahaman yang mendalam terhadap industri sebenar bagi profesion fisioterapi.
Enam orang pelajar UKM yang terlibat dalam program tersebut ialah Lee Kah Chuen, Choo Jia Min, Kee Shin Ying, Mohamad Rozaimie Md Noh, Tan Wan Ting, Lim Eujane dan mereka diiringi oleh seorang Pensyarah Fisioterapi, UKM, YBrs. Dr. Mohd Azzuan Ahmad.

Kolaborasi antara UKM dengan CMU telah bermula sejak tahun 2008 melalui memorandum persefahaman antara kedua-dua buah universiti dan sejak itu, CMU menerima lebih daripada 12 kumpulan pelajar dari UKM dan pihaknya juga pernah menghantar pelajar mereka untuk menyertai program Fisioterapi di UKM.
Tujuan utama latihan industri berkenaan adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang peranan, fungsi dan tugas dalam industri sebenar di negara luar, sekali gus menyediakan medan perkongsian ilmu fisioterapi untuk membentuk mahasiswa yang bersemangat dan berimpak positif dalam kerjaya fisioterapi.
Selain itu, program yang diadakan ini juga memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari dan mempraktikkan silang budaya dalam bidang profesional fisioterapi, meningkatkan pengetahuan berkaitan dengan kemahiran dan teknologi kesihatan dan pemulihan di Thailand, menambah nilai kepada kualiti dalam profesion fisioterapi serta meningkatkan kebolehpasaran para pelajar setelah tamat pengajian.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh latihan industri tersebut termasuklah penempatan klinikal di hospital untuk melihat kaedah perawatan dan praktikal bagi pesakit yang memerlukan perawatan fisioterapi, sesi lawatan ke fasiliti yang berkaitan seperti rumah penjagaan orang tua serta komuniti, sesi pengajaran seperti kuliah dan praktikal serta kursus pendek dalam bidang fisioterapi oleh pensyarah di Universiti Chiang Mai.

Di samping itu, interaksi antara pelajar dari kedua-dua buah negara berupaya meningkatkan kemahiran bahasa, pemahaman budaya yang lebih mendalam, pengembangan jaringan sosial serta kemahiran sosial dan komunikasi para pelajar.
Selain pertukaran ilmu dalam kalangan pelajar, program berkenaan juga memberikan peluang kolaborasi dalam bidang pengajaran serta penyelidikan bagi ahli akademik antara kedua-dua program Fisioterapi dari UKM dan CMU.
Program yang dijalankan dapat memberikan pengalaman berharga kepada para pelajar dalam memahami peranan fisioterapi dalam konteks yang lebih luas, memupuk hubungan yang lebih erat antara UKM dengan CMU, meningkatkan kerjasama dalam bidang pengajaran dan penyelidikan antara kedua-dua buah universiti serta memperkaya ilmu dan kemahiran dalam bidang fisioterapi.