Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Tuba – Stesen Penyelidikan Marin (MARES), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama UiTM Cawangan Perak telah melancarkan Program Komuniti Lestari Madani di Pulau Tuba, Kedah.
Program tersebut merupakan projek kolaborasi High Impact Community Engagement (HICE) antara dua kampus, iaitu UiTM Cawangan Perlis dan UiTM Cawangan Perak.
Antara projek yang telah dijalankan termasuklah Projek Mengindahkan Perigi 100 Tahun Pulau Tuba oleh mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Marin Lestari dan usaha sama Pembangunan Tapak Perkhemahan di persekitaran MARES.
“Pelbagai kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan komuniti akan dirangka dalam masa terdekat di MARES,” kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Tambah beliau, banyak sinergi perlu diperluas demi mencapai aspirasi UiTM Cawangan Perlis untuk berada bersama-sama universiti terkemuka lain dalam aspek pembangunan modal insan dan komuniti.

Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Perak, YBrs. Profesor Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim sangat mengalu-alukan sebarang kerjasama projek dan program berbentuk pembangunan komuniti dan kajian saintifik bersama-sama UiTM Cawangan Perlis dan MARES.
Timbalan Ketua MARES, YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam pula menyatakan bahawa MARES mempunyai banyak penyelidik dalam bidang teknologi marin lestari yang banyak melakukan projek saintifik di persekitaran Pulau Langkawi dan kawasan pulau di Semenanjung Malaysia yang lain.

Beliau juga memaklumkan bahawa MARES berjaya dianugerahkan pelbagai geran penyelidikan saintifik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta geran pembangunan komuniti.
Ujar beliau,
Kejayaan ini membuktikan bahawa MARES amat memainkan peranan yang penting dalam bidang sains, teknologi dan inovasi dalam sektor pendidikan marin dan maritim.
Turut hadir dalam Majlis Pelancaran Program Komuniti Lestari Madani tersebut ialah Ketua MARES, YBrs. Profesor Ts. Mohd Azlan Mohd Ishak; Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim dan Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Cawangan Perak, YBrs. Profesor Madya Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab. Gani.