Diterbitkan pada 24 Julai 2024, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperjuangkan pelbagai inisiatif dan program yang direka untuk mengarusperdanakan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal dalam satu kenyataan, melalui usaha yang dilaksanakan oleh MOSTI, isu kekurangan minat pelajar dalam bidang berkaitan dengan sains yang merupakan punca utama pendaftaran rendah dalam bidang STEM oleh 53.1 peratus responden kajian Kesedaran Awam mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia 2022 diharapkan dapat ditangani.

“MOSTI telah menganjurkan Minggu Sains Negara (MSN) sejak tahun 2018 yang  dirangka bagi melengkapkan kurikulum pendidikan sedia ada dengan aktiviti luar bilik darjah dan program yang lebih interaktif,” katanya.

Pada tahun 2023, MSN telah berjaya menarik hampIr 600 ribu orang peserta untuk menyertai program berkenaan, sama ada secara dalam talian ataupun fizikal.

Tambah beliau, usaha berterusan yang dilakukan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam memupuk dan membangunkan bakat STEM melalui program National Science Challenge (NSC) amat dihargai.

Ujar beliau,

Sepanjang 19 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1999, NSC telah menjadi satu daripada pertandingan sains utama untuk pelajar sekolah menengah di Malaysia.

Pada tahun 2023, penyertaan NSC telah merekodkan pencapaian pelibatan lebih daripada 9000 pasukan dengan hampir 30,000 orang pelajar sekolah menengah telah terlibat.

Selain itu, MOSTI juga sedang mempergiat usaha bagi meluaskan ilmu pengetahuan dan pengalaman saintifik kepada komuniti tempatan melalui Pusat Sains Negara dan ASM yang telah melaksanakan program Kembara Sains Borneo (KSB) di Sabah bagi mendekati pelbagai kumpulan komuniti di kawasan tersebut, terutamanya di lokasi yang lebih terpencil.

Beliau juga memaklumkan bahawa program KSB edisi kedua akan diadakan pada tahun ini di Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Ranau, Kota Belud, Kinarut, Papar, Telupik, Tuaran dan Kota Kinabalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASM, YBrs. Profesor Dr. Norsaadah Abd Rahman berkata, interaksi pemenang NSC 2023 bersama-sama kelompok rakan sebaya dan pakar antarabangsa diharapkan dapat meningkatkan pemahaman dan penghargaan mereka terhadap sains dan teknologi.

Ulas beliau,

Pemenang NSC 2023 boleh berkongsikan pengalaman dan kisah mereka kepada khalayak ramai dan rakan sebaya agar menjadi inspirasi dan motivasi kepada individu lain dan seterusnya menggalakkan mereka untuk menyusun perjalanan hidup menerusi dunia STEM.

Semasa lawatan delegasi MOSTI ke Kunming, China, pemenang NSC 2023 dari Kolej Yayasan Saad, iaitu Ayra Alisha Mohd Affandi, Jovani Johari dan Maryam Zahra Faisal akan berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti sains dan teknologi termasuklah seminar oleh ahli akademik dan pakar serta lawatan ke universiti, institut penyelidikan saintifik dan muzium semula jadi.

Selain itu, terdapat juga aktiviti yang memberikan tumpuan kepada pertukaran saintifik dan kemanusiaan seperti meneroka asal usul kehidupan dan warisan budaya yang berharga bagi mencapai matlamat dalam mengarusperdanakan STEM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi