Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Skuad First Aider, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Kelab Sukan dan Kebajikan serta AKRAB Nuklear Malaysia telah menganjurkan Program Nilai Murni dan Psikologi 2024 Siri 1: Karnival Mini Kesihatan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai nilai murni, kesihatan psikologi serta budaya kerja sihat dalam kalangan warga Nuklear Malaysia.
Program yang berlangsung di Aras G, Blok 11, Nuklear Malaysia telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 200 orang kakitangan Nuklear Malaysia dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuklah ceramah tentang nilai murni dan psikologi, derma darah, pemeriksaan kesihatan serta pameran informasi dan produk.

Sebanyak 48 orang daripada 67 orang warga Nuklear Malaysia telah berjaya menderma darah selepas disaring oleh pegawai perubatan dalam kempen derma darah yang dianjurkan, sekali gus memberikan sumbangan kepada Tabung Darah Negara.
“Saya berasa sangat gembira dapat menyumbang kepada Tabung Darah Negara kerana kempen derma darah ini merupakan langkah yang amat bermakna kepada kami untuk memberikan kembali sumbangan kepada masyarakat,” kata Encik Mohammad Azwan Nizam Mohd Nasir, seorang daripada penderma darah yang turut serta dalam program tersebut.

Semangat kerjasama dan kesedaran yang tinggi dalam program tersebut menandakan komitmen Nuklear Malaysia untuk memperkasakan nilai murni serta kesejahteraan psikologi warganya.
Sumbangan melalui kempen derma darah juga menunjukkan semangat kepedulian terhadap keperluan masyarakat dan sememangnya program seumpama ini memberikan kesan positif dalam jangka masa panjang.