Diterbitkan pada 18 Julai 2024, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian tunggal untuk mencapai penyahkarbonan, sebaliknya melengkapi usaha sedia ada bagi mencapai sasaran pelepasan sifar bersih.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam satu kenyataan, Yang Berhormat (YB) Nik Nazmi Nik Ahmad, CCUS hanya sebahagian daripada pelbagai strategi dan aktiviti yang sedang diusahakan oleh Malaysia untuk menangani perubahan iklim serta mencipta peluang ekonomi hijau.

Ujar beliau,

Walaupun CCUS bukan teknologi baharu, penggunaan yang meluas masih terhad kerana kos yang tinggi dan terdapat perdebatan yang meluas mengenai cabaran CCUS kerana memerlukan jumlah tenaga yang besar untuk beroperasi.

Tambah beliau, analisis daripada Laporan Penilaian Keenam (AR6) Panel antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) telah mengenal pasti CCUS sebagai teknologi penting untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG), terutamanya dalam sektor yang sukar untuk dinyahkarbonkan seperti industri berat (simen dan keluli) serta beberapa proses kimia.

Katanya, UNFCCC COP28 di Dubai turut menekankan kepentingan teknologi rendah karbon dan teknologi pengurangan GHG berasaskan kejuruteraan seperti CCUS untuk menyokong usaha global mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius selaras dengan matlamat Perjanjian Paris.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli pernah menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti negeri Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak berpotensi sebagai peneraju dalam industri CCUS.

Menurut beliau, kesemua negeri tersebut berpotensi sebagai peneraju kerana mempunyai telaga minyak yang telah tamat tempoh operasi dan infrastruktur yang sesuai untuk aktiviti CCUS di kawasan berkenaan.

YB Nik Nazmi Nik Ahmad menyambut baik kenyataan itu tetapi beliau berpandangan bahawa terdapat risiko terhadap alam sekitar akibat kebocoran karbon dioksida yang disimpan.

Jelasnya,

Cabaran ini dapat diatasi melalui kemajuan teknologi, kekukuhan rangka kerja pengawalseliaan, menyediakan insentif yang sesuai kepada industri serta melaksanakan inisiatif penentuan harga karbon untuk menjadikan CCUS yang berdaya maju dapat dilaksanakan.

Beliau juga berkata, CCUS adalah antara penggalak utama NETR dan Kajian Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) negara.

Tambahnya lagi, kedua-dua dokumen tersebut menekankan peranan CCUS dalam menyokong aspirasi negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih pada tahun 2050.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi