Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Pertandingan International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx) akan diadakan di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra, Kedah pada 13 Ogos 2024 hingga 15 Ogos 2024.”
Demikian perkongsian yang diberikan oleh Pengarah iCompEx, Ts. Azimah Ismail dan Timbalan Pengarah 2 iCompEx, Ts. Izyan Wahida Zainuddin ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.


Dalam sesi temu bual tersebut, kedua-dua tetamu undangan itu menekankan peranan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam memberikan sokongan dan galakan kepada generasi muda untuk berinovasi.
Dalam hal ini, kerajaan telah menyediakan pelbagai dana dan geran seperti dana inovasi dan pembiayaan teknologi hijau untuk membantu belia mengembangkan idea mereka serta program pembangunan kemahiran seperti eUsahawan dan eRezeki yang diselenggarakan oleh MDEC turut membantu belia mengasah inovasi.
Selain itu, pertandingan dan anugerah inovasi seperti Hari Inovasi Negara juga diadakan untuk mendorong belia mengembangkan bakat yang terdapat dalam diri, di samping pihak industri berperanan mengkomersialkan produk inovatif dan menaik taraf idea daripada para pensyarah politeknik ke peringkat yang lebih tinggi.
Seterusnya, mereka juga memberikan penekanan bahawa sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu diperkasakan sebagai langkah proaktif untuk memupuk minat belia dari peringkat awal.
Semasa temu bual tersebut, mereka berkongsikan bahawa pertandingan iCompEx yang telah berlangsung selama 12 tahun itu pernah mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2015 dengan pelibatan sebanyak 4040 orang peserta dan beberapa produk telah berjaya dikomersialkan.
Impak daripada pertandingan tersebut telah berjaya menggabungkan idea daripada penginovasi tempatan dan antarabangsa, sekali gus membolehkan mereka berkongsikan idea, bertukar pendapat dan menambah baik produk masing-masing.
Pertandingan berkenaan juga mendapat kerjasama dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta politeknik di Indonesia dan Thailand dengan ratusan penyertaan termasuklah dari luar negara.