Diterbitkan pada 12 Julai 2024, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa peraturan berkaitan dengan larangan penjualan produk merokok akan dikuatkuasakan bersama-sama Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) setelah diluluskan kelak.

KKM dalam kenyataannya berkata, pihaknya sedang memperhalusi peraturan larangan berkaitan dengan penjualan semua produk merokok termasuklah menerusi kaedah mesin layan diri.

Susulan daripada aduan yang tular dalam aplikasi X pada Rabu lalu mengenai operasi mesin vap layan diri di sebuah pusat beli-belah, KKM menyarankan agar pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut menutup operasi mesin vap layan diri berkenaan serta-merta.

Dalam kenyataan itu dinyatakan bahawa pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut akur dengan saranan yang diberikan sebagai tanggungjawab sosial setelah pihak KKM turun bertemu dengan pihak pengurusan pusat beli-belah terlibat bagi menerangkan tentang larangan penjualan vap menerusi mesin layan diri.

Menurut KKM, larangan penjualan rokok elektronik melalui mesin layan diri merupakan kesinambungan daripada larangan penjualan hasil tembakau seperti rokok, cerut dan tembakau lerai menggunakan mesin layan diri di bawah peraturan sedia ada, iaitu Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281).

“Sebagai persediaan ke arah penguatkuasaan Akta 852 bersama-sama peraturan dan perintah di bawahnya, KKM telah mengadakan Siri Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 kepada semua pegawai penguat kuasa KKM dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara bermula 9 Jun lepas,” jelas KKM.

Tambah KKM, hal ini bertujuan memaklumkan tentang larangan yang terdapat dalam akta berkenaan dan peraturan di bawahnya termasuklah larangan penjualan produk merokok melalui mesin layan diri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi