Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCat merupakan campuran bahan dalam bentuk cecair yang digunakan untuk melapisi permukaan sesuatu bahan dengan tujuan memberikan perlindungan untuk permukaan tersebut, meningkatkan daya tarikan visual dan meningkatkan ketahanan sesuatu permukaan. Terdapat pelbagai jenis produk cat yang dikategorikan mengikut kegunaannya seperti cat minyak, cat emulsi, cat antihakis dan sebagainya.
Merujuk laporan global pasaran cat dan salutan, permintaan pengguna terhadap produk cat dan salutan akan meningkat pada setiap tahun. Sehubungan dengan itu, industri pembuatan cat juga dijangka akan berkembang pesat dari segi peningkatan permintaan dan pembuatannya, termasuklah industri pembuatan cat di Malaysia.
Namun begitu, penggunaan pelbagai jenis bahan kimia dalam pembuatan cat amat membimbangkan kerana akan mempengaruhi kesihatan pekerja yang terdedah kepadanya. Skop kerja pekerja pembuatan cat termasuklah memproses dan mengeluarkan bahan, mengawal peralatan dan membuat pemasangan serta mencampurkan bahan organik, pelarut, pigmen bagi menghasilkan cat sintetik mengikut formula dan spesifikasi fungsi yang ditetapkan.
Terdapat empat bahan utama yang lazimnya digunakan dalam proses pembuatan cat, iaitu pigmen, bahan pengikat, bahan tambahan dan bahan pelarut. Kebanyakan bahan tersebut mengandungi pelbagai jenis bahan kimia yang berbahaya termasuklah bahan yang mudah meruap.
Bahan kimia tersebut boleh memasuki badan pekerja melalui proses pernafasan. Pendedahan secara kerap semasa bekerja tanpa langkah kawalan yang bersesuaian boleh menyebabkan kesan sampingan yang berbahaya kepada kesihatan pekerja.

Permasalahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam Kalangan Pekerja Pembuatan Cat
Kesan buruk akibat pendedahan kepada pelbagai bahan kimia semasa proses pembuatan cat boleh mengakibatkan fungsi sel darah manusia terjejas disebabkan oleh pengurangan penghasilan darah merah, darah putih dan platelet. Memandangkan risiko keselamatan pekerja pembuatan cat adalah tinggi, kesedaran majikan untuk mengatasi masalah ini perlu ditingkatkan.
Oleh itu, dengan persetujuan majikan satu daripada kilang pembuatan cat, penulis dan kumpulan kajian telah mengambil keputusan untuk membuat penilaian terhadap beberapa risiko kesihatan pekerja di kilang tersebut. Dalam kajian ini, dua kumpulan pekerja di kilang pembuatan cat telah terlibat sebagai responden, iaitu kumpulan terdedah yang terdiri daripada pekerja di bahagian proses pembuatan cat. Kumpulan kawalan pula tertumpu pada pekerja di bahagian pentadbiran di pejabat kilang pembuatan cat tersebut.
Penilaian ini merupakan satu daripada usaha untuk memastikan majikan mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di bawah seksyen 15 (1). Setiap majikan dan orang yang bekerja sendiri diwajibkan untuk memastikan, setakat yang praktik akan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.
Di samping itu, taklimat dan penerangan yang dijalankan sebelum persampelan bermula dapat meningkatkan kesedaran pekerja dan majikan mengenai risiko pendedahan kepada pelbagai bahan kimia yang digunakan dalam proses pembuatan cat. Kajian ini juga dapat membantu usaha majikan dalam menangani isu berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan di kilang pembuatan cat seiring dengan matlamat majikan dalam memastikan proses pembuatan cat berjalan dengan lancar dan memenuhi keperluan pengguna.
Prestasi Tingkah Laku Neuro
Ujian tingkah laku neuro ialah penilaian terhadap kerosakan dan penyakit neurologi. Ujian ini merupakan kaedah yang diiktiraf sebagai kaedah yang sah untuk mengesan gangguan psikologi awal dalam sistem saraf yang disebabkan oleh pendedahan terhadap agen neurotoksik.
Agen neurotoksik ialah bahan kima yang boleh mengubah struktur dan fungsi sistem saraf. Ujian ini digunakan untuk mengesan kegagalan fungsi subklinikal dalam sistem saraf.
World Health Organization–Neurobehavioral Core Test Battery (WHO–NCTB) telah diperkenalkan sejak awal tahun 1990-an yang menyediakan kaedah pen atau pensel dan kertas untuk menilai gangguan tingkah laku neuro. WHO-NCTB dibangunkan dan digunakan secara meluas untuk mengenal pasti kesan neurotoksik pada populasi manusia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ujian NCTB terdiri daripada soal selidik simptom subjektif dan siri ujian yang menilai fungsi seperti perhatian atau kelajuan respons, ingatan auditori, kecekapan manual, kelajuan perseptual–motor, ingatan atau persepsi visual dan kestabilan motor. NCTB digunakan secara meluas kerana kosnya yang lebih rendah, tidak rumit dan ujian yang bersesuaian kerana ujian ini hanya menggunakan kertas dan pensel.
Selain itu, masa aktiviti ujian adalah pendek, tidak penat dan mudah diberikan kepada responden, termasuklah mereka yang kekurangan kemahiran membaca dan menulis kerana ujian ini hanya mengukur fungsi yang sangat asas sahaja. Lima ujian NCTB yang biasa dilakukan termasuklah ujian simbol digit, ujian rentang digit ke hadapan dan belakang, ujian reaksi masa mudah, ujian Santa Ana kecekatan tangan dan ujian ketukan jari.



Nilai purata untuk hampir kesemua ujian menunjukkan bahawa pekerja kumpulan terdedah adalah lebih rendah daripada kumpulan kawalan. Hal ini menunjukkan pekerja yang terdedah secara berterusan kepada pelbagai bahan kimia semasa proses pembuatan cat telah menurunkan prestasi tingkah laku neuro mereka. Oleh itu, data ini boleh digunakan bagi mencadangkan langkah kawalan yang bersesuaian kepada majikan bagi mengatasi masalah ini.

Tahap Kerosakan Asid Deoksiribonukleik (DNA)
Asai Komet Beralkali adalah untuk menilai kerosakan DNA pada individu yang terdedah kepada agen genotoksik. Kelebihan asai ini termasuklah keperluan jumlah sel yang kecil untuk setiap sampel dan kos ujian yang rendah, cepat serta mudah dikendalikan digunakan.
Sebelum asai ini dijalankan, persampelan sel bukal telah diambil daripada mukosa pipi pekerja dengan menggunakan berus sitologi atau batang yang di hujung pangkalnya terdapat kapas. Pensampelan ini dilakukan pada kedua-dua dinding pipi subjek.
Batang kapas dikeluarkan dari plastik steril, kemudian bahagian kapas digosokkan secara lembut dan perlahan pada dinding pipi responden secara gerakan membulat selama 30 saat. Ketika sampel diambil, kapas tidak boleh menyentuh gigi dan gusi. Pengambilan sel bukal bagi setiap subjek diulang sebanyak dua kali di kedua-dua belah dinding pipi.
Selepas itu, proses penskoran dilakukan secara berhati-hati di bawah lampu malap. Semakin tinggi nilai skor menunjukkan semakin tinggi tahap kerosakan DNA pada sel bukal. Hasil penilaian yang dibuat didapati bahawa nilai skor untuk pekerja kumpulan terdedah adalah lebih tinggi berbanding dengan kumpulan kawalan (panjang ekor komet 1.71 kali ganda lebih tinggi, peratus DNA dalam ekor komet 1.65 kali ganda lebih tinggi; bacaan momen ekor 3.18 kali ganda lebih tinggi).


Kesimpulannya, pendedahan kepada bahan kimia dapat mempengaruhi kesihatan pekerja pembuatan cat dari segi tingkah laku neuro dan kerosakan pada DNA mereka. Beberapa cadangan telah disampaikan kepada pihak majikan bagi tindakan kawalan yang sepatutnya.
Antara cadangan yang diusulkan termasuklah menyediakan kelengkapan perlindungan diri yang sesuai kepada pekerja mengikut tugas dan pendedahan pekerja, terutamanya pekerja yang menjalankan aktiviti penghasilan cat seperti menimbang bahan kimia, mencampur, mengadun dan sebagainya. Seterusnya, memperbanyakkan lagi program perlindungan pernafasan dengan memfokuskan aktiviti yang melibatkan pendedahan kepada pelbagai bahan kimia.
Selain itu, latihan uji minda dan pergerakan secara berkala adalah digalakkan bagi meningkatkan prestasi tingkah laku dalam kalangan pekerja. Memandangkan industri pembuatan cat merupakan satu daripada industri pembuatan yang penting di negara ini, data daripada kajian ini dapat dijadikan sumber rujukan oleh pihak berwajib dalam melaksanakan penguatkuasaan dan langkah pencegahan yang sesuai.
Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang, Nurul Farahana Kamaludin dan Nurul Afiqah Md Saironi,
Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia,
Kampus Kuala Lumpur.