Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSejak sekian lama, terdapat pelbagai jenis tumbuhan ubat-ubatan yang wujud di dunia ini. Antaranya ialah spesies Andrographis daripada famili Acanthaceae telah menarik perhatian banyak penyelidik di seluruh dunia kerana terkenal dalam aktiviti farmakologi yang membantu bagi mengawal dan mengubati beberapa jenis penyakit.
Andrographis merupakan tumbuhan herba renek atau rumpai yang boleh mencapai ketinggian hingga satu meter. Jambak bunga dan buah spesies ini keluar pada bahagian ketiak daun. Bunganya mempunyai lima kelopak, iaitu dua kelopak atas dan tiga kelopak bawah. Bentuk buahnya pula seperti kapsul yang tumbuh secara menegak dan menghasilkan beberapa biji benih pada setiap kapsul.
Kira-kira 45 spesies Andrographis direkodkan di seluruh dunia. India merupakan pusat diversiti bagi genus ini. Andrographis paniculata atau dikenali sebagai hempedu bumi dikatakan mempunyai nilai yang tinggi dalam perubatan moden dan tradisional, terutamanya dalam perubatan Cina yang digunakan secara turun-temurun.
Pada tahun 1923, ahli botani, H.N. Ridley telah merekodkan dua spesies Andrographis di Semenanjung Malaysia, iaitu A. paniculata dan A. laxiflora. Namun begitu, spesies A. laxiflora telah dimasukkan dalam genus Haplanthus kerana ciri pada tumbuhan ini lebih sepadan dengan kelompok genus berkenaan.
Satu lagi spesies Andrographis telah ditemukan di hutan sekunder Gertak Sanggul, Pulau Pinang semasa melakukan tinjauan botani pada tahun 2021. Spesies ini dijumpai tumbuh di tebing jalan berhampiran dengan pantai di bawah naungan pokok. Terdapat kurang daripada 10 individu pokok ditemukan pada ketika itu. Setelah melakukan semakan dan rujukan pada buku Flora, penelitian morfologi dan membuat perbandingan dengan spesimen herbarium di beberapa herbarium seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Singapura dan Thailand serta perbandingan imej spesimen tip, spesies ini telah dikenal pasti sebagai Andrographis echioides (L.) Nees.
A. echioides mempunyai taburan yang meluas di India dan Sri Lanka, namun tidak pernah direkodkan di Malaysia sebelum ini. Dari segi pengecaman, A. echioides merupakan tumbuhan herba renek kecil dan keseluruhan tumbuhan ditutupi dengan bulu halus, mempunyai saiz bunga dan buah yang lebih kecil berbanding dengan A. paniculata.
Andrographis paniculata
A. paniculata ialah tumbuhan yang berasal dari Sri Lanka dan India yang merupakan pusat kepelbagaian genetik. Spesies ini telah diperkenalkan dan mula tersebar secara meluas dari Asia Tenggara hingga Amerika Utara dan India Barat. Tumbuhan ini juga dikenali sebagai hempedu bumi, hempedu tanah, akar cerita atau bidara. Dalam bahasa Inggeris pula dipanggil king of bitter kerana dikatakan sebagai herba yang paling pahit.
Tumbuhan herba ini tumbuh secara menegak dengan jangka hayat yang pendek, iaitu lebih kurang satu tahun dan mampu mencapai ketinggian hingga satu meter dan mempunyai batang berbentuk segi empat dengan ranting yang banyak secara bertingkat. Keseluruhan kelopak bunganya pula berwarna putih dengan tiga kelopak bahagian bawah mempunyai jalur atau bintik ungu. Buahnya bersaiz kira-kira 2.5 sentimeter panjang dan 0.5 sentimeter lebar dan tumbuh secara menegak dengan enam hingga 10 biji benih pada setiap kapsul.
Secara umumnya, hempedu bumi tumbuh secara meliar, terutamanya di kawasan tanah terbuka dan kawasan yang ditumbuhi rumput. Di Malaysia, hempedu bumi biasanya ditanam di halaman rumah atau di dalam pasu sebagai tanaman hiasan atau dijadikan herba ubat-ubatan. Tumbuhan ini merupakan tumbuhan lasak dan boleh hidup dengan baik dalam pelbagai jenis tanah dan mampu hidup dalam keadaan cuaca panas.
Mengikut kajian perubatan, terdapat banyak kebaikan hempedu bumi yang telah digunakan secara tradisional seperti sebagai rawatan penyakit darah tinggi, demam, jangkitan cacing, ulser, cirit-birit serta rawatan bagi gigitan ular dan serangga. Kajian penyelidikan juga mendapati bahawa penggunaan herba ini dikatakan dapat membantu menurunkan paras gula, memberikan perlindungan terhadap fungsi hati, mengurangkan sakit sendi dan jangkitan saluran pernafasan. Walau bagaimanapun, kebergantungan pada pengambilan herba ini perlu dikawal agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang.
Andrographis echioides
A. echioides dikenali sebagai hempedu bumi bulu atau nama Inggerisnya ialah false water willow. Tumbuhan herba renek ini boleh mencapai ketinggian hingga 50 sentimeter tinggi dan keseluruhan tumbuhan ditutupi dengan bulu halus. Struktur jambak bunga hampir menyerupai A. paniculata, namun mempunyai perbezaan dari segi morfologi bunga serta saiz buah yang lebih pendek.
Kelopak bunganya juga berwarna putih dengan hujung tiga kelopak bunga bawah berwarna ungu gelap. Buahnya bersaiz kira-kira 1.2 sentimeter panjang dan 0.3 sentimeter lebar dan menghasilkan sekurang-kurangnya empat biji benih dalam satu kapsul.
Di India, tumbuhan ini digunakan untuk merawat demam dan antiradang. Ekstrak daun atau jus daun direbus dengan minyak kelapa untuk mengawal rambut daripada gugur dan beruban. Spesies ini merupakan rekod baharu di Malaysia dan berpotensi besar sebagai satu kajian penyelidikan tumbuhan ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, pemerhatian terhadap pertumbuhan tumbuhan ini harus dipantau kerana dikhuatiri berupaya menjadi rumpai invasif sekiranya tidak dikawal populasi pertumbuhannya.
Rumpai Invasif
Spesies invasif merupakan spesies asing yang masuk ke Malaysia secara sengaja atau tidak sengaja melalui pelbagai kaedah seperti bekalan biji benih, bekalan baja organik, penyebaran oleh haiwan seperti unggas yang berhijrah ke negara ini dan diperkenalkan sebagai tumbuhan hiasan.
Kehadiran spesies invasif di sesuatu tempat boleh menyebabkan kerosakan kepada habitat yang diceroboh kerana kemampuan mendominasi kawasan yang terlibat. Sesuatu kawasan yang telah dimonopoli oleh spesies invasif mampu mengurangkan kelimpahan spesies asli serta mengubah struktur dan menjadi ancaman kepada habitat semula jadi. Dalam sesetengah kes, kehadiran spesies invasif memberikan kesan negatif kepada ekonomi setempat dan mempengaruhi aktiviti sosial serta kesihatan.
Sebagai contohnya, kemasukan rumput berbahaya dari Amerika, iaitu rumpai miang Mexico atau nama saintifiknya, Parthenium hysterophorus ke Malaysia boleh menyebabkan industri ruminan terjejas. Rumpai ini mengakibatkan kesan alahan serta penyakit kulit atau masalah pernafasan, terutamanya apabila tumbuhan ini disentuh. Selain itu, kos yang tinggi diperlukan bagi tujuan menghapuskan spesies ini daripada terus merebak.
Begitu juga dengan tumbuhan Andrographis, dengan kadar pembiakannya yang cepat, maka tumbuhan ini dianggap sebagai rumpai invasif di sesetengah negara walaupun banyak khasiat perubatan diperoleh daripada tumbuhan ini.
Sebagai kesimpulannya, tinjauan dan dokumentasi flora perlu sentiasa dilakukan agar maklumat terkini tentang biodiversiti flora di Malaysia sentiasa dikemas kini. Maklumat ini adalah penting dan boleh digunakan dalam kajian penyelidikan berkaitan dengan ekologi, evolusi dan konservasi habitat serta spesies. Kira-kira 8500 spesies flora di Semenanjung Malaysia telah disenaraikan oleh I.M. Turner pada tahun 1997 dan telah meningkat kepada 9030 spesies.
Peningkatan spesies tersebut adalah disebabkan oleh penemuan spesies dan rekod baharu oleh pengkaji botani dan taksonomi. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat banyak hutan di Malaysia yang belum diteroka untuk didokumentasikan. Tindakan yang segera perlu dilakukan bagi mengelakkan spesies ini lenyap selama-lamanya.
Pengemaskinian spesies dan taksa baharu yang direkodkan dapat membantu menjelaskan kekayaan flora yang terdapat di Malaysia. Di samping itu, kempen kesedaran tentang bahaya kemasukan spesies asing invasif ke habitat liar juga perlu lebih giat diadakan agar spesies tempatan tidak terancam.
Rafidah Abdul Rahman, Pegawai Penyelidik, Program Biodiversiti Flora, Cawangan Herbarium, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Nik Faizu Nik Hassan, Pegawai Penyelidik, Program Hutan Asli, Cawangan Ekologi Hutan, FRIM.