Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bertemakan “Sukan Tradisi Menggamit Memori”, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan hari sukan untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan memupuk semangat berpasukan, sekali gus menghayati permainan tradisional di Malaysia yang semakin dilupakan.
Sebanyak lebih daripada 200 orang kakitangan UKM telah bersama-sama meraikan hari sukan tersebut dengan menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti tarik upih, galah panjang dan lari di dalam guni.
“Walaupun kita bekerja di bawah satu bumbung yang sama, kita tidak selalu dapat bersama-sama dan berukhwah dalam suasana yang santai,” kata Dekan FSK UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar ketika merasmikan hari sukan berkenaan.
Beliau juga mengesyorkan agar melupakan tugasan masing-masing buat sementara waktu dan mengambil peluang ini untuk mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Program, YBrs. Dr. Hanif Farhan Mohd Rasdi dalam ucapan alu-aluannya berkata,
Kalah atau menang bukan ukuran, yang paling penting ialah kita berseronok sambil meningkatkan kecergasan masing-masing.
Aktiviti tarik upih yang kini jarang-jarang ditemukan bukan sahaja menguji ketangkasan dan stamina para peserta, malah membolehkan peserta mencungkil teknik yang betul ketika melakukan aktiviti tersebut bagi mengelakkan kecederaan.

“Saya berasa teruja dapat melakukan aktiviti tarik upih kerana aktiviti ini mengingatkan saya pada zaman kanak-kanak, yakni kita bersuka ria bersama-sama sepupu dan kawan-kawan di kampung,” kata seorang daripada peserta yang menyertai hari sukan tersebut.

Selepas aktiviti padang, hari sukan tersebut diteruskan dengan pelbagai aktiviti permainan tradisional seperti congkak, tingting, lastik getah, dam haji, batu seremban dan ceper.


Permainan tradisional ialah aset negara yang sangat bernilai dan mengembalikan budaya dan sejarah masyarakat. Oleh itu, usaha untuk memelihara permainan ini adalah penting bagi memastikan warisan negara terus mekar dan dihargai oleh generasi muda.
Selaku universiti watan, UKM sentiasa berusaha untuk mengekalkan dan menyuburkan warisan ini agar permainan tradisional negara akan terus dijadikan pilihan dalam aktiviti kecergasan atau hari sukan pada masa akan datang.