Diterbitkan pada 5 Julai 2024, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa semua makanan ikan yang dihasilkan oleh kilang yang berdaftar dan mematuhi piawaian jabatan adalah selamat untuk digunakan.

DOF dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kilang kitar semula di Kuala Muda yang diserbu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak mempunyai kaitan dengan PSJ Feed Sdn. Bhd., sebuah kilang makanan ikan yang sah dan beroperasi di Pulau Pinang sejak tahun 2022.

“PSJ Feed Sdn. Bhd. kini dalam proses mendapatkan pensijilan Fish Quality Certification (FQC), sekali gus menunjukkan komitmen mereka terhadap kualiti dan keselamatan produk,” jelas DOF.

Tambah DOF, siasatan akan dibuat oleh pihaknya dengan pengambilan sampel makanan di kilang PSJ Feed Sdn. Bhd. bagi pengesahan komposisi makanan dan keputusan analisis sampel makanan ikan akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari bekerja.

Menurut DOF, sebuah kilang kitar semula di Kuala Muda telah diserbu oleh JAS baru-baru ini kerana didapati memproses bahan kitar semula menjadi palet plastik dan membungkusnya dengan menggunakan beg plastik kitar semula.

Katanya, beg pembungkusan yang digunakan ialah beg makanan ikan dan telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penternak bahawa palet plastik tersebut ialah makanan ikan.

DOF berkata, jabatan ini sentiasa menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kilang makanan ikan bagi memastikan mereka mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan dalam Akta Makanan Haiwan 2009.

DOF akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi berkaitan untuk meningkatkan pengawasan terhadap operasi kilang pembuatan makanan haiwan bagi memastikan tiada bahan berbahaya digunakan dalam penghasilan makanan ikan.

DOF juga menyeru kepada semua penternak akuakultur untuk lebih berhati-hati dan memastikan bahawa produk makanan ikan yang dibeli adalah daripada sumber yang sah dan mempunyai pensijilan yang diiktiraf.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi