Diterbitkan pada 5 Julai 2024, 10:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pembinaan lebuh raya yang banyak tidak akan menyelesaikan masalah dalam jangka masa panjang kerana situasi ini akan menarik lebih banyak pengguna menggunakan kereta di lebuh raya.”

Demikian pandangan yang diutarakan oleh Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Profesor Madya Dr. Law Teik Hua ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, UPM, YBrs. Profesor Madya Dr. Law Teik Hua ketika ditemu bual tentang peranan AI dalam meningkatkan keselamatan di jalan raya menerusi program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung melalui saluran Radio Televisyen Malaysia.

Pada awal sesi perbincangan tersebut, beliau memaklumkan bahawa Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, UPM telah melancarkan satu aplikasi, iaitu Automatic Road Incident Detection System (ARIDS) untuk mengatasi kesesakan lalu lintas melalui pengesanan kemalangan jalan raya.

Ujar beliau,

Berdasarkan kajian yang dijalankan, sebanyak 30 peratus kematian di jalan raya bukanlah kerana kematian serta-merta selepas kemalangan, tetapi kematian yang berlaku disebabkan oleh mangsa menunggu dalam tempoh yang lama di tempat kejadian.

Menurut beliau, selain tidak memerlukan bilik kawalan, televisyen litar tertutup (CCTV) dan manusia sebagai operatornya, sistem ARIDS hanya memerlukan beberapa buah komputer untuk beroperasi selama 24 jam dan pengguna akan mendapat notifikasi secara serta-merta melalui aplikasi WhatsApp.

Notifikasi sistem ARIDS yang dihantar dengan menggunakan aplikasi WhatsApp.

Katanya,

Sistem ini hanya memerlukan dua buah komputer sahaja di seluruh bandar Kuala Lumpur dan sekiranya tiga buah komputer digunakan, sistem ini berupaya mengawal radius sejauh 1000 kilometer jajaran lebuh raya.

Tambah beliau, perbezaan antara sistem ini dengan aplikasi lain yang sedia ada adalah dari segi pengesanan kemalangan, yakni aplikasi yang terdapat dalam pasaran agak lemah dan hanya berdasarkan laporan daripada orang awam jika dibandingkan dengan sistem ARIDS yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa Google Maps Traffic dan Bing Maps turut digunakan bersama-sama sistem ARIDS dan isyarat daripada aplikasi ini dijadikan sebagai pemboleh ubah (variable) kepada ARIDS.

Perubahan isyarat daripada aplikasi peta digital yang akan dihantar ke sistem ARIDS untuk dianalisis.

Kata beliau,

Sistem ARIDS berupaya untuk mengesan lampu isyarat yang rosak melalui corak trafik dan hal ini berbeza dengan kaedah konvensional yang menggunakan kaedah rondaan pasukan trafik atau aduan daripada pengguna jalan raya.

Kelebihan sistem ini adalah disebabkan oleh sifatnya yang dapat memberikan keputusan trafik secara menyeluruh berbanding dengan aplikasi lain yang hanya melaporkan kejadian yang berlaku ketika pihak yang terlibat sampai di lokasi berkenaan.

Mengulas lebih lanjut, antara pihak yang telah menggunakan sistem ARIDS ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Putrajaya Holdings dan Polis Diraja Malaysia.

Dalam sesi perbincangan tersebut, beliau juga memaklumkan bahawa sistem ARIDS versi 2.0 sudah boleh digunakan oleh orang awam secara percuma memandangkan sistem ARIDS versi 1.0 hanya digunakan oleh pihak tertentu bagi menghantar bantuan kecemasan ke lokasi yang bermasalah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi