Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Agenda Nasional Malaysia Sihat yang bertemakan “Love Walk, Love Nature” yang dianjurkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) di Hutan Lipur bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan mesra alam dalam kalangan kakitangannya.
Aktiviti senamrobik yang disertai oleh 70 orang peserta itu dibimbing oleh tiga jurulatih profesional, iaitu Jurulatih Min, Jurulatih Mim dan Jurulatih Hani dari Kumpulan Curve untuk memanaskan badan, sekali gus menyuntik semangat dan motivasi kepada para peserta sebelum memulakan aktiviti yang seterusnya.

Selepas sesi senamrobik, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti berkumpulan yang mencabar bagi menguji ketahanan fizikal dan mental serta menggalakkan semangat kerjasama dan kesepaduan dalam kalangan para peserta.
Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh para peserta termasuklah melakukan aktiviti “Radio Rosak” yang memerlukan peserta mencari jalan untuk menyelesaikan masalah komunikasi; “Kotak Seram” yang mencabar keberanian mereka; “Sip The Taste” yang menguji deria rasa para peserta serta “Kain Pelekat Seimbang” yang menguji keseimbangan dan koordinasi mereka.

Pada akhir program, penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta atas sokongan dan kerjasama mereka dalam menjayakan aktiviti tersebut dan menekankan bahawa kejayaan yang diperoleh merupakan hasil daripada semangat dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat.
Dengan kejayaan program ini, pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen kesihatan dan alam semula jadi harus diadakan pada masa akan datang bagi memastikan kesejahteraan fizikal dan mental sentiasa terjaga, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan Nuklear Malaysia.