Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerima sumbangan sebanyak 25 anak pokok daripada Yayasan Pulau Banding yang ditanam dalam program Kayuhan Kapsul Merentas Kampus Cawangan (Semenanjung Malaysia) bersempena dengan Mini Sambutan 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti.
Anak pokok yang berketinggian antara 60 sentimeter hingga 70 sentimeter itu terdiri daripada spesies kerian, merbau, perah dan merpauh periang yang diambil dari TRCRC Nursery di Banun, Gerik, Perak dan telah dikoordinasikan oleh UiTM Green Centre, UiTM Cawangan Perlis.
Simbolik penanaman pokok di Dataran Tuanku Canselor, UiTM Cawangan Perlis telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib sambil disaksikan oleh Penolong Naib Canselor, Bahagian Komunikasi Strategik, UiTM, YBrs. Profesor Dr. Ismie Roha Mohamed Jais; Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi; barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTM Cawangan Perlis dan delegasi dari Yayasan Pulau Banding.

“Aktiviti menanam pokok telah membuktikan usaha murni yang dilakukan oleh UiTM dan Yayasan Pulau Banding untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penanaman pokok kepada alam sekitar,” kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.
Tambah beliau,
Sepertimana yang kita sedia maklum, aktiviti menanam pokok adalah penting bagi mengurangkan pemanasan global, memperbaik kualiti udara dan air di bawah tanah serta mencegah hakisan tanah.
Di UiTM Cawangan Perlis, penanaman anak pokok ini akan menyediakan ekosistem habitat kepada banyak benda hidup selain menambah nilai estetika di Dataran Tuanku Canselor.
Pada masa yang sama, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi turut menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Pulau Banding kerana telah menyumbang sebanyak 25 anak pokok bersempena dengan Mini Sambutan 25 Tahun UiTM.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Penasihat Yayasan Pulau Banding, Puan Maria Abd Rahman dan Koordinator UiTM Green Centre, YBrs. Dr. Che Bon Ahmad.