Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib memohon agar warga UiTM Cawangan Perlis untuk terus komited dalam memanfaatkan peluang penjanaan pendapatan buah mangga harum manis yang menjadi ikon di negeri Perlis selaras dengan kemajuan sains pertanian dan agroteknologi serta peningkatan dalam permintaan global.
Beliau berkata demikian di hadapan lebih 700 warga UiTM Cawangan Perlis dalam Majlis Perjumpaan Naib Canselor bersama-sama Staf UiTM Cawangan Perlis bersempena dengan Mini Sambutan 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti.

Menurut beliau, UiTM Cawangan Perlis mempunyai banyak pakar profesional yang disegani untuk memajukan sektor pertanian mangga harum manis yang kini menjadi fenomena luar biasa.
Tambah beliau,
Dengan memiliki ladang mangga harum manis yang terbesar di negeri Perlis, penjanaan pendapatan yang lumayan akan menguntungkan pelbagai sistem dalam UiTM secara amnya.
Selain itu, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib berhasrat untuk menjadikan UiTM Cawangan Perlis sebagai hab kepakaran penanaman dan pengkomersialan mangga harum manis serta produk pertanian lain dalam usaha meningkatkan ketampakan universiti berkenaan dalam sektor pertanian moden.
“Bagi meningkatkan kebolehlihatan universiti ini dalam bidang sains pertanian, warga UiTM perlulah berusaha untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada peringkat nasional dan antarabangsa,” kata beliau.
Saya cabar warga kampus ini untuk menyahut cabaran bagi meletakkan nama UiTM Cawangan Perlis sebagai institusi rujukan rakyat, khususnya golongan petani dan peladang untuk datang ke kampus ini bagi mendapatkan nasihat serta belajar tentang ilmu sains pertanian dan agroteknologi.
Beliau menyatakan bahawa produk berasaskan mangga harum manis dan produk pertanian lain boleh dikomersialkan hasil daripada penjanaan idea kreatif dan inovasi dalam kalangan warga UiTM menerusi kolaborasi strategik dengan pihak industri dan badan kerajaan.
Ulas beliau, dengan adanya bantuan kepakaran daripada warga UiTM Cawangan Perlis dalam bidang pertanian, mangga harum manis dapat meningkatkan taraf hidup penduduk di negeri Perlis, terutamanya golongan B40.
Jelas beliau,
Industri pertanian harum manis berupaya meningkatkan penjanaan ekonomi orang Melayu di bumi Perlis yang rata-ratanya masih terperangkap dalam status B40.
Terjemahkan peranan UiTM Cawangan Perlis yang telah bertapak di negeri ini selama hampir 50 tahun dalam usaha mentransformasikan kehidupan golongan petani B40.
Turut hadir menyaksikan perkongsian dan amanat beliau ialah Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi; Penolong Naib Canselor, Bahagian Komunikasi Strategik, UiTM, YBrs. Profesor Dr. Ismie Roha Mohamed Jais dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri, UiTM Cawangan Perlis.