Diterbitkan pada 26 Jun 2024, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan Program Bual Sains: Podcast MOSTI bertajuk Seronoknya Sains! yang memaparkan sesi perkongsian tentang kecenderungan minat masyarakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) serta dunia sains angkasa.

Program berkenaan menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Pengarah Pusat Sains Negara, Encik Mohammad Fuad Rahman dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Planetarium Negara, Encik Mohd Zamri Shah Mastor, manakala Encik Badrulhisham Mohd Sany dari Planetarium Negara sebagai moderator.

Berdasarkan Kajian Kesedaran Awam mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi oleh Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia, Encik Mohammad Fuad menyatakan bahawa terdapat penurunan minat masyarakat terhadap STI.

Menurut beliau, data yang berjaya dikumpulkan menunjukkan sebanyak 46.8 peratus responden memberikan maklum balas yang baik mengenai STI pada tahun 2014 sebelum peratusan itu meningkat pada tahun 2019 kepada 66.7 peratus, namun peratusan tersebut menurun kepada 40 peratus pada tahun 2022.

Beliau menyatakan bahawa trend penurunan kecenderungan minat terhadap STI berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti penerapan asas yang tidak kuat kepada pelajar, kekurangan fasiliti dan makmal sains di sekolah serta pengaruh rakan sebaya dan ibu bapa yang memberikan pandangan negatif terhadap bidang sains serta dipengaruhi oleh pedagogi bidang sains di sekolah.

Walau bagaimanapun, Encik Mohd Zamri Shah Mastor pula berkongsikan bahawa minat masyarakat terhadap bidang astronomi dan sains angkasa bertambah berbanding dengan tahun sebelum ini.

Ujar beliau,

Hal ini dapat dilihat melalui pemerhatian terhadap kehadiran pengunjung ke Planetarium Negara dan tumpuan masyarakat kepada media sosial agensi tersebut yang semakin meningkat saban tahun, terutamanya ketika berlakunya fenomena astronomi seperti gerhana bulan, gerhana matahari dan hujan meteor.

Untuk mengatasi masalah berkenaan, kedua-dua ahli panel bersetuju bahawa pengalaman merasai sendiri fenomena sains itu perlu diterapkan dalam diri masyarakat, khususnya para pelajar agar tidak terlalu fokus kepada pengajaran di dalam kelas semata-mata.

Hal ini juga bagi menyahut saranan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek agar mewajibkan aktiviti dan lawatan ke pusat pembelajaran tidak formal yang terdapat di Malaysia bagi meningkatkan minat para pelajar terhadap pelbagai bidang termasuklah sains.

Program yang dipenuhi dengan pelbagai maklumat itu disiarkan secara rakaman dan dapat ditonton melalui YouTube MOSTI.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi