Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penggunaan sinaran nuklear dalam kehidupan telah dikupas dengan lebih lanjut oleh penyelidik Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan penulis yang terkenal dengan buku Genesis: Kosmologi dan Dunia Kuantum dan Genesis II: Sapien dan Neo-Manusia, Dr. Zamir Mohyedin dalam webinar Sinaran dan Kehidupan: Apa yang Perlu Anda Cakna? yang berlangsung secara dalam talian pada pagi ini.
Program tersebut diadakan bersempena dengan program Atom Malaysia Terjah IPT, Minggu Sains Negara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Jabatan Tenaga Atom Malaysia dan Fakulti Sains Gunaan, UiTM.

Menurut Dr. Zamir Mohyedin, sinaran atau radiasi ialah tenaga yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat dalam bentuk gelombang atau partikel.
Sinaran nuklear yang berguna dan selamat hendaklah menggunakan tahap dos yang rendah dan tidak akan memudaratkan manusia dan alam sekitar.
Dr. Zamir Mohyedin juga berkongsikan maklumat bahawa sinaran nuklear banyak digunakan dalam bidang perubatan, terutamanya dalam rawatan kanser.
“Antara kaedah yang digunakan termasuklah radioterapi proton yang mampu membunuh kanser di dalam badan manusia,” katanya lagi.
Selain bidang perubatan, sinaran nuklear turut digunakan dalam bidang pertanian dan kejuruteraan.
Dalam bidang pertanian, kaedah radioisotop digunakan untuk mengawal serangan serangga perosak yang memusnahkan tanaman.
Menurutnya, kaedah ini turut digunakan untuk melambatkan buah daripada masak terlalu awal akibat pembiakan bakteria dan sebagai kaedah penyimpanan beras di kilang untuk tempoh yang lama.
Dalam bidang kejuruteraan pula, radioisotop digunakan untuk mengesan kebocoran yang wujud dalam saluran atau tangki paip.
“Kaedah ini juga digunakan untuk membunuh bakteria yang wujud dalam air bagi menghasilkan sumber air yang bersih,” katanya lagi.
Dr. Zamir juga mencadangkan agar tenaga nuklear perlu diperluas penggunaannya, terutamanya dalam penghasilan tenaga elektrik kerana sumber nuklear adalah lebih banyak berbanding dengan sumber atau tenaga lain seperti arang batu dan solar.
“Penggunaan tenaga nuklear juga lebih mesra alam sekitar dan tidak memerlukan ruang yang besar bagi menghasilkannya,” ujarnya merumuskan perkongsian dalam webinar tersebut.
Webinar ini turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, Fakulti Sains Gunaan, UiTM oleh Profesor Madya. Dr. Zety Sharizat Hamidi yang bertindak selaku moderator program.