Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKedah – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan merasmikan Galeri Padi Nuklear dan Program Promosi Bersasar, Technology Preview and Showcase (TPS) Siri 2.0 Zon Utara di Muzium Padi, Alor Setar, Kedah, hari ini.
TPS merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Kedah.
”Nuklear Malaysia terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi termaju yang merangkumi pelbagai aplikasi termasuklah teknologi perubatan, perindustrian, pertanian dan alam sekitar sebagai usaha untuk mengurangkan pergantungan kepada teknologi luar, sekali gus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” kata Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim.
Menurut beliau, matlamat utama penganjuran program tersebut adalah untuk menemukan pegawai penyelidik Nuklear Malaysia dengan pihak industri dan pemegang taruh bagi memperkenalkan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan oleh 21 pusat khidmat melalui pembangunan dan teknologi serta khidmat dan teknologi yang sedia ada di Nuklear Malaysia, di samping mempromosikan aplikasi teknologi nuklear serta manfaatnya kepada masyarakat.
Beliau berkata, Galeri Padi Nuklear yang dilancarkan ini dibangunkan atas inisiatif Nuklear Malaysia untuk memperkenalkan teknologi yang digunakan dalam penghasilan varieti NMR 152 yang merupakan biji benih baharu yang dihasilkan melalui aplikasi teknologi nuklear melalui kaedah mutasi aruhan kepada para pengunjung yang mengunjungi Muzium Padi.
Melalui Galeri Padi Nuklear, para pengunjung dapat melihat sendiri aplikasi dan perkembangan teknologi nuklear dalam penghasilan benih padi yang memiliki daya ketahanan tinggi terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu seperti kemarau dan banjir kilat, mempunyai daya rintangan terhadap beberapa penyakit utama padi yang sering menjangkiti tanaman dan merugikan para pesawah.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat (YB) Tuan Haji Dzowahir Ab Ghani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), YBhg. Dato’ Haji Mohd. Fauzi Mustaffa; Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan; Pengarah Lembaga Muzium Negeri Kedah, Tuan Shuhadi Shukri; pegawai kanan kementerian serta wakil jabatan dan kerajaan negeri.