11 Jun 2024, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerima lawatan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato‘ Kamaruddin, Batu Kurau, Perak untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan inisiatif perkhidmatan perpustakaan digital dan aplikasi teknologi maklumat yang disediakan kepada warga UiTM.

Lawatan yang disertai oleh 40 orang pelajar tingkatan enam dan empat orang guru pengiring itu merupakan sebahagian daripada program Kembara Ilmu anjuran Pusat Tingkatan Enam, SMK Dato‘ Kamaruddin ke Pulau Langkawi dan UiTM Cawangan Perlis.

Semasa sesi lawatan itu, para peserta dibawa ke Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan (PDJH) dan mendengar perkongsian daripada Pustakawan PDJH, Puan Nor Azrina Kasim mengenai pendigitalan koleksi perpustakaan UiTM.

Sesi perkongsian mengenai pendigitalan koleksi perpustakaan UiTM oleh Pustakawan PDJH, Puan Nor Azrina Kasim.

“Pendigitalan koleksi perpustakaan UiTM adalah sejajar dengan Dasar Pendigitalan Perpustakaan Negara Malaysia dan menjadi satu daripada inisiatif UiTM untuk kekal relevan serta berdaya saing setanding dengan mana-mana universiti terkemuka dalam mengharungi dunia digital dan globalisasi,“ kata Puan Nor Azrina Kasim.

Menurut beliau, perpustakaan digital dilihat amat penting sejak kerajaan mengeluarkan arahan dan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengekang sumber wabak koronavirus.

Beliau menyatakan bahawa mahasiswa pada ketika itu terpaksa menggunakan sumber digital perpustakaan untuk mengakses data berkaitan dengan pendidikan, pembelajaran, penulisan dan penyelidikan.

Antara koleksi digital yang sering digunakan oleh warga UiTM termasuklah e-buku, e-sumber, tesis UiTM, sistem akses terbuka, koleksi kertas peperiksaan, pangkalan data dalam talian dan repositori penyelidikan.

Beliau juga berkongsikan bahawa pendigitalan koleksi perpustakaan ini mampu mengurangkan masa dan tenaga mahasiswa UiTM dalam mencari pelbagai maklumat untuk membuat sesuatu tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Para peserta berada di kawasan Sains Sosial, PDJH sambil mendengar taklimat daripada Pembantu Pustakawan Kanan Tertinggi, PDJH, Encik Abd Aziz Zainol.

Pada masa yang sama beliau juga menasihati para peserta agar mencari maklumat yang sahih dan tepat kerana kini Internet mampu menjadi senjata untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti seseorang dan berupaya mengubah landskap politik negara dan antarabangsa.

Pada peringkat universiti, pencarian maklumat perlu berpaksikan fakta dan bukan berdasarkan pandangan semata-mata, lebih-lebih lagi jika maklumat itu diambil daripada sumber yang dinilai tiada atau lemah kredibilitinya.

Beliau juga menegaskan bahawa pengguna bertanggungjawab untuk menilai sumber maklumat dengan bijaksana sebelum mengambil maklumat tersebut untuk dimasukkan ke dalam tesis atau projek tahun akhir.

Seterusnya, para peserta dibawa ke beberapa bahagian di PDJH 1 dan PDJH 2 yang menyimpan pelbagai koleksi bahan rujukan seperti buku, majalah, tesis dan bahan rujukan lain yang merentasi pelbagai bidang.

Sesi penyerahan cenderamata oleh Koordinator Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Perlis, Puan Eliy Nazira Mat Nazir kepada wakil sekolah SMK Dato‘ Kamaruddin.

Turut hadir dalam sesi lawatan itu ialah Pembantu Pustakawan, Encik Muhammad Azri Rodzi.

Para peserta bergambar bersama-sama kakitangan Pejabat Rektor UiTM Cawangan Perlis di Dewan Seri Semarak sebagai tanda kenang-kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.