10 Jun 2024, 22:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Trolak –  Tema “Debat Epitome Minda Madani” telah diangkat dalam pertandingan Debat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Se-Malaysia Piala Timbalan Perdana Menteri 2024 yang telah berlangsung sejak 7 Jun hingga 10 Jun 2024  di MRSM Felda, Trolak.

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, selaku pihak pembangkang yang mendebatkan tajuk “Pembangunan Teknologi Tenaga Boleh Baharu untuk Mencapai Pembangunan Mampan” muncul sebagai juara bagi kategori Bahasa Melayu dalam pertandingan akhir yang diadakan pada pagi ini.

Pendebat dari MRSM Kubang Pasu.
Pendebat dari MRSM PDRM Kulim.

Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki dalam ucapan perasmiannya, program debat adalah sangat bermanfaat untuk melatih pelajar dalam mengasah bakat pengucapan awam, berfikir secara rasional dengan lebih kritis dan kreatif dalam pelbagai bidang dan menonjolkan bakat di pentas debat.

Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki ketika berucap dalam pertandingan akhir Debat MRSM Se-Malaysia Piala Timbalan Perdana Menteri 2024 yang diadakan di MRSM Felda, Trolak pada pagi ini.

Kita mahukan generasi akan datang mempunyai nilai dan kekuatan dari segi pemikiran, mempunyai keupayaan untuk berhujah dan menelaah sesuatu perkara serta memberikan pandangan balas dengan penuh kritis, kreatif, inovatif dan adab yang baik.

Hurainya lagi, dalam al-Quran sendiri ada menyebut mengenai aspek debat dan perbahasan yang menjadi satu daripada aspek yang diberikan penekanan tetapi mestilah dalam kerangka adab dan akhlak yang baik.

“Kita mahukan pentas debat ini menjadi medan terbaik kepada pelajar untuk menggilap potensi mereka sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan.” ujarnya lagi.

Mengulas dengan lebih lanjut mengenai program ini, beliau meletakkan harapan agar pada masa hadapan, program debat MRSM ini menjadi program yang berprestij pada peringkat yang lebih tinggi.

MARA akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada usaha seperti ini. Selain melahirkan kumpulan pelajar yang berkualiti dan berketerampilan, program ini juga akan membentuk kumpulan pelajar ini untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan yang mempunyai tahap intelektual yang tinggi.

Pada tahun ini, MRSM Felda, Trolak telah diberikan penghormatan untuk menjadi tuan rumah yang melibatkan penyertaan sebanyak 57 pasukan daripada MRSM seluruh negara dalam tiga kategori, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Antara rakan strategik yang terlibat dalam program ini termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta para penaja seperti Affin Bank, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), CelcomDigi, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Bank Simpanan Nasional, Mahir Publisher dan Felcra Bekalan & Perkhidmatan Sdn. Bhd.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan bingkai gambar kulit majalah Dewan Kosmik Bil. 6/2024 daripada Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari kepada Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh pihak MARA dalam langganan majalah Dewan Kosmik bagi kegunaan pelajar dan guru di 57 MRSM di seluruh Malaysia.

Penyampaian bingkai gambar kulit majalah Dewan Kosmik daripada Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari kepada Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.

Dewan Kosmik Bil. 6/2024 yang menampilkan YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki sebagai penghias kulit majalah membincangkan tentang peluang pendidikan dan kerjaya dalam sektor pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional serta pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik yang diperkasakan di MARA.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Encik Razlan Hj Samsuri; Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Encik Shahrizal Mohd Saderi; Pengarah MARA Negeri Perak, Encik Rizal Effendi Razali; Presiden Badan Permuafakatan Ibu Bapa (MUAFAKAT) Pendidikan MARA, YBhg. Dato’ Sayed Alfeizal Sayed Ahmad ; dan Pengetua MRSM Felda Trolak, Encik Zeidi Zakaria.

KEPUTUSAN PERTANDINGAN AKHIR DEBAT MRSM SE-MALAYSIA PIALA TIMBALAN PERDANA MENTERI 2024

KATEGORI: BAHASA MELAYU
JOHAN: MRSM Kubang Pasu
NAIB JOHAN: MRSM PDRM Kulim

PERINGKAT SEPARUH AKHIR:
1. MRSM Kuantan
2. MRSM Batu Pahat

KATEGORI: BAHASA INGGERIS
JOHAN: MRSM Kuala Kubu Bharu
NAIB JOHAN: MRSM Muadzam Shah

SEPARUH AKHIR:
1. MRSM Tun Ghafar Baba
2. MRSM Kuantan

KATEGORI: BAHASA ARAB
JOHAN: MRSM Kepala Batas
NAIB JOHAN: MRSM Gemencheh

SEPARUH AKHIR:
1. MRSM Kota Putra
2. MRSM Sungai Besar

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.