Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Delegasi akademik Diploma Optometri, Politeknik Singapura telah mengadakan lawatan ke Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memperkukuh pemahaman dalam bidang penjagaan mata, sekali gus memupuk hubungan sosial dan kesedaran budaya antara kedua-dua pihak.
Delegasi dari Politeknik Singapura yang terdiri daripada 30 orang pelajar, dua orang pensyarah iringan dan diketuai oleh YBrs. Dr. Tan Li Li itu disambut mesra oleh Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, UKM, YBrs. Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin, YBrs. Dr. Woi Pui Juan dan para pelajar praklinikal program berkenaan.
Sesi lawatan itu dimulakan dengan sesi taklimat oleh YBrs. Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin yang berkongsikan latar belakang penubuhan FSK, UKM dan sejarah profesion optometris di Malaysia.

“Program optometri yang diperkenalkan sejak tahun 1982 dipelopori oleh pakar oftalmologi, Allahyarham Profesor Datuk Dr. Mohd Noor Marahakim. Pengajian dalam bidang ini di Malaysia tidak terhad kepada sarjana muda sahaja, malah terbuka pada peringkat sarjana dan doktor falsafah”, ujar YBrs. Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin.
Tambah beliau, program lawatan seumpama ini berupaya memangkin aktiviti kerjasama antarabangsa dalam melestarikan pembelajaran di institusi pengajian tinggi dan wajar diteruskan untuk memberikan manfaat yang berkekalan serta memperkukuh kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh kedua-dua institusi.
Selepas sesi taklimat, program diteruskan dengan sesi klinikal pemeriksaan mata yang memberikan peluang kepada delegasi Politeknik Singapura untuk mengambil bahagian dalam prosedur diagnostik makmal serta berinteraksi dengan para pelajar dan kakitangan Program Optometri, FSK, UKM.

Dalam sesi lawatan itu juga, para peserta diberikan pendedahan tentang makmal perkhidmatan pembuatan mata palsu atau prostetik dan klinik elektrofisiologi oleh ahli klinisian program.

Pada masa yang sama, terdapat juga sesi perkongsian aktiviti khidmat masyarakat yang dijalankan oleh para pelajar Program Optometri, FSK, UKM dan pertukaran idea mengenai pembelajaran optometri antara pelajar dari dua institusi yang berbeza itu.
Aktiviti perkongsian dua hala tersebut bukan sahaja membina persekitaran pembelajaran kolaboratif yang menggalakkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman, malah menawarkan peluang kepada para pelajar untuk membangunkan kemahiran sosial dan interpersonal.
