Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Perikanan Negara (DOF) terus memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan perairan laut negara dan hidupan marin sentiasa dipelihara serta dilindungi demi kelestarian sumber perikanan.
Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato’ Adnan Hussain dalam satu kenyataan berkata, DOF telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memelihara perairan laut negara termasuklah pemantauan berterusan terhadap terumbu karang serta kualiti air di Taman Laut dan restorasi karang.
DOF telah melaksanakan pemantauan terumbu karang secara berkala dan pemantauan dilakukan bersama-sama badan bukan kerajaan, penyelidik tempatan serta sukarelawan untuk menilai kesihatan dan kepelbagaian spesies terumbu karang yang bertepatan dengan tema sambutan Hari Lautan Sedunia 2024, iaitu “Tindakan Pemangkin untuk Lautan dan Iklim Kita.
Tambah beliau, pemantauan tersebut adalah penting untuk mengenal pasti ancaman dan tekanan yang dihadapi oleh terumbu karang seperti perubahan iklim, penangkapan ikan yang tidak mampan serta pencemaran berasaskan daratan.
Berdasarkan rekod DOF, status peratusan litupan karang hidup (LKH) di perairan Taman Laut dan Kawasan Larangan Perikanan Malaysia (FPA) pada tahun 2023 menunjukkan peningkatan yang baik, iaitu 54.23 peratus berbanding dengan tahun 2022, iaitu 50.96 peratus.
Terdapat beberapa transek kekal yang tertentu mempamerkan penurunan dalam LKH disebabkan oleh faktor seperti ancaman tapak sulaiman mahkota berduri dan pelbagai pengaruh antropogenik yang memberikan kesan kepada kesihatan terumbu.
Menurut DOF, purata LKH Nasional 2023 berada pada 45.87 peratus, iaitu pada tahap sederhana, merangkumi kawasan terumbu yang dilindungi dan tidak dilindungi.
Peratusan LKH di kawasan Taman Laut dan FPA adalah lebih tinggi berbanding dengan peratusan LKH Nasional, sekali gus menunjukkan keberkesanan pengurusan habitat terumbu karang di Kawasan Perlindungan Marin (MPA) yang ditadbir urus oleh DOF.
Selain itu, pemantauan tahunan kualiti air di Taman Laut juga dijalankan bagi memantau tahap kualiti air yang mempengaruhi faktor kesihatan habitat terumbu karang dengan menempatkan lima stesen tetap pemantauan kualiti air di kawasan berkenaan yang berupaya mencerap data pada sela masa lima minit.
Data pemantauan tersebut akan membantu DOF dalam menilai langkah atau tindakan proaktif terhadap kesan perubahan iklim ke atas ekosistem laut negara.
DOF berkata, pihaknya juga terlibat dalam usaha pemuliharaan terumbu karang di kawasan terumbu yang terosot atau terdegradasi dan pemuliharaan sumber marin melalui pendekatan restorasi, iaitu kaedah untuk memulihkan habitat terumbu karang yang diancam kemerosotan.
Menurut DOF, kawasan seluas 1,045.63 meter padu di hadapan Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu telah berjaya dipulihara daripada kesan kemusnahan akibat ribut tropika Pabuk yang melanda pada tahun 2019.
Katanya lagi, kawasan seluas 813 meter padu di Taman Laut Pulau Payar, Kedah berjaya dipulihara dan usaha ini diteruskan di beberapa lokasi lain yang telah dikenal pasti di sekitar kawasan Taman Laut seperti di Pulau Perhentian dan Pulau Redang, Terengganu.
Taman Laut Pulau Tioman, Pulau Sibu–Tinggi, Pulau Redang dan Pulau Perhentian telah dikenal pasti sebagai kawasan terumbu karang yang berdaya tahan daripada sebarang ancaman perubahan iklim dan perlindungan sepenuhnya akan diberikan agar tidak mengalami kelunturan karang pada masa hadapan serta penekanan lebih melalui pengezonan khas untuk memulihara habitat unik yang berada di kawasan tersebut.
Jelas DOF, kelestarian ekosistem terumbu karang perlu dipelihara bagi mengelakkan khazanah marin tersebut musnah akibat aktiviti manusia.
DOF menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian secara aktif dalam usaha pemuliharaan lautan dengan mengurangkan sisa plastik, menyokong amalan penangkapan ikan yang mampan dan menyokong pemuliharaan marin.
Setiap individu boleh menyumbang kepada kesihatan dan kelestarian lautan demi kesejahteraan generasi semasa dan akan datang kerana kita boleh membuat perubahan bersama-sama bagi memastikan masa hadapan yang mampan untuk persekitaran marin.