Oleh Shaufi
8 Jun 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan pembuat dasar di Malaysia. Dengan memberikan fokus kepada kemahiran praktikal yang diperlukan oleh industri, TVET menawarkan laluan alternatif kepada pendidikan tradisional yang berasaskan akademik.

Kerajaan telah mengumumkan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan TVET sebagai langkah dalam mendepani cabaran industri pada masa hadapan. Antara inisiatif tersebut termasuklah peningkatan peruntukan kewangan, melakukan kerjasama strategik dengan industri serta pembaharuan kurikulum pendidikan agar selaras dengan keperluan pasaran kerja.

Dalam inti pati Bajet 2024, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf oleh industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam. Selain itu, kerjasama dengan syarikat swasta turut dipertingkatkan melalui program perantis dan latihan amali yang memberikan peluang kepada pelajar TVET untuk merasai situasi pengalaman kerja sebenar. Peluang ini membolehkan pelajar untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan didedahkan kepada budaya kerja dan etika profesional yang diperlukan oleh industri.

Semasa pelancaran program Digital Skills TVET di Universiti UCSI​, Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata bahawa pelaksanaan TVET adalah kritikal dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi untuk masa hadapan negara.

“Kita perlu memastikan bahawa TVET di negara ini adalah selaras dengan keperluan industri yang semakin berkembang. Kerjasama antara institusi pendidikan dan sektor industri juga perlu diperkukuh untuk menghasilkan graduan yang benar-benar bersedia untuk memasuki pasaran kerja,” ujarnya lagi.

Aspek lain dalam usaha pemerkasaan TVET termasuklah peningkatan taraf pensyarah dan tenaga pengajar. Sebagai contohnya, program latihan berterusan bagi pensyarah TVET sedang giat dijalankan dengan memberikan penekanan kepada kemahiran terkini dan teknologi baharu ke arah Revolusi Perindustrian 4.0. Penekanan ini adalah untuk memastikan pensyarah dapat menyediakan pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa.

Menurut laporan terbaru dari Kementerian Sumber Manusia, kadar kebolehpasaran graduan TVET di negara ini kini mencapai 90 peratus. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat permintaan yang tinggi terhadap graduan yang dilengkapi dengan kemahiran teknikal. Maklumat ini juga jelas membuktikan bahawa TVET bukan sahaja mampu melahirkan graduan yang kompeten, malah menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran dalam kalangan belia.

“TVET memberikan saya peluang untuk belajar secara praktikal dan lebih bersedia untuk menghadapi dunia kerja sebenar.  Saya yakin dengan kemahiran yang saya peroleh, saya mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” kata Wan Nor Harman, pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Mekatronik) di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Melihat kepada berbagai-bagai usaha yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak dalam bidang ini, TVET dijangka terus menjadi pemacu utama dalam membentuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri. TVET juga memainkan peranan yang besar dalam membentuk pembangunan mampan negara kerana sektor ini menjadi asas yang menyediakan individu dengan kemahiran praktikal yang mendorong pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara.

Ts. Mohamad Shaufi Kambaruddin,
Pensyarah,
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.